comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru SK Jeram cedera nahas di Rompin beransur pulih, ada sudah kembali bertugas 

FOTO: Fail

NIBONG TEBAL: Kebanyakan guru terbabit dalam kemalangan bas persiaran di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, Pahang, pada 9 Jun lalu, beransur pulih dan ada sudah kembali bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di Masjid Tanah, Melaka.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, meskipun nahas berkenaan melibatkan ramai guru dan kakitangan kumpulan pelaksana, ia tidak menjejaskan operasi di sekolah.

“Tindakan segera telah diambil oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan lancar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-68 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, di sini semalam.

Pada masa sama, Fadhlina menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri, JPN Melaka dan Pahang serta semua pihak atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan.

Dalam nahas itu, empat maut, manakala 35 lagi cedera selepas bas yang dalam perjalanan membawa rombongan SK Jeram ke Terengganu untuk program penanda aras, terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler.

Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan SK Jeram, Hasnatul Adilah Hassan, 48; pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29; pembantu operasi sekolah, Hamzah Ahmad, 60, dan guru, Dahlia Ahmad, 52.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini