comscore
Tumpuan :
Nasional

Haiwan pun boleh stres

Foto: hiasan

Oleh: Ain Shafiqah Zaki 

PETALING JAYA: “Kucing pun boleh murung? Bukan kena pergi kerja pun!”

Itu antara seloroh netizen apabila isu kemurungan kucing mula tular di laman sosial sejak minggu lalu.

Menurut Doktor Perubatan Veterinar, Dr. Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali terdapat beberapa faktor yang membawa kepada masalah kemurungan terhadap kucing.

“Boleh jadi sebab faktor persekitaran, boleh disebabkan penyakit, dan sebagainyalah. Biasanya penyumbang depression (kemurungan) pada haiwan ni atau kucing sendiri adalah dari segi environment (persekitaran) lah. Ada perubahan persekitaran secara mendadak, perubahan makanan, gangguan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Bahkan, haiwan lain contohnya burung juga tidak terlepas daripada risiko ditimpa depresi.

“Ada sesetengah burung akan mencabut bulu-bulu di badan mereka apabila stres,” katanya.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam bidang itu selama 14 tahun turut mendakwa bahawa masih ramai pemilik tidak sedar betapa kes kemurungan haiwan boleh membawa kematian.

Menurutnya, pemilik perlu bijak membaca naluri si comel kerana kebiasaannya si bulus akan menunjukkan beberapa tanda depresi antaranya bersifat agresif, lebih menyendiri dan kurang selera makan.

“Amat penting untuk pemilik memantau rapat keadaan kucing kerana kebanyakan kucing pandai sorok kesakitan mereka.

“Kalau sakit, dia tak tunjuk. Kita nampak dia makan dengan tenang apa semua tetapi rupa-rupanya dia dalam kemurungan sebab menahan kesakitan,” jelasnya.

Bercakap mengenai kos rawatan, beliau menyeru agar pemilik memilih pendekatan mencegah sebelum merawat kerana ianya boleh mencecah ribuan ringgit.

Pemilik haiwan juga digalakkan untuk membuat semakan berkala bagi memastikan mental dan fizikal haiwan peliharaan sentiasa terjaga rapi.

Loading...
Terkini