comscore
Tumpuan :
Nasional

Haji 1444H: Pakej Rahmah tunai haji jadi pilihan jemaah

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: Lebih 8,000 jemaah haji dari keseluruhan 31,600 jemaah yang mengerjakan haji musim 1444h ini menggunakan khidmat syarikat pelancongan berlesen dengan Tabung Haji (TH) untuk menunaikan haji.

Antara mereka yang menggunakan pakej berharga antara RM43,000 sehingga RM250,000 ini adalah pesara kerajaan, selebriti, ahli perniagaan dan ahli politik.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Mohd. Zawawi Bostam berkata, sebanyak 22 buah syarikat pengendali umrah termasuk TH Travel diberikan lesen pada tahun ini untuk menjadi pengelola jemaah haji (PJH) selepas memenuhi syarat kelayakan yang ketat.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Mohd. Zawawi Bostam

Katanya, syarikat itu akan dipantau setiap masa dari segi perkhidmatan dan layanan kepada jemaah haji bagi memastikan tiada jemaah yang tertipu dengan pakej-pakej yang ditawarkan.

“Seramai 25 anggota PJH ditugaskan untuk membuat pemantauan ke atas mereka ini yang dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu dua di Mekah dan satu di Madinah,” katanya kepada wartawan di bangunan ibu pejabat TH di Abraj Janadriyah.

Sekiranya syarikat berkaitan gagal mematuhi kriteria ditetapkan, mereka berdepan amaran lisan atau bertulis dan boleh didenda, selain ditamatkan kontrak.

Selain menawarkan pakej ‘kayangan’, bernilai ratusan ribu ringgit, syarikat-syarikat berlesen PJH  ini juga dimestikan menawarkan Pakej Rahmah berharga bawah RM50,000.

“Syarikat-syarikat boleh membuat untung lebih dengan menumpukan pada pakej-pakej yang mahal, tetapi kita mahu juga mereka menawarkan apa yang kita panggil pakej ekonomi,” katanya.

Selain itu menurut Mohd. Zawawi, Pakej Rahmah di bawah RM50,000 juga memainkan peranan untuk menarik minat jemaah menggunakan PJH.

Menurut Mohd Zawawi lagi, sambutan terhadap pakej rahmah ini juga agak mengalakkan apabila lebih 35 peratus daripada lebih 8000 jemaah yang menunaikan haji menerusi pakej, memilih Pakej Rahmah ini.

Katanya ini mungkin kerana jurang yang tidak ketara daripada bayaran penuh muassasah sebanyak RM30,850.

Loading...
Terkini