comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Menjelang Hari Wukuf, berhati-hati dengan pakej haji palsu

Oleh Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Tabung Haji (TH) menasihatkan bakal-bakal haji supaya berwaspada dengan promosi atau iklan yang menawarkan pakej mengerjakan haji menggunakan visa furada bagi mengelak daripada tertipu.

Ketua rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, semakin menghampiri Hari Wukuf, promosi pakej-pakej sebegini akan kerap digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.

Beliau berkata walaupun pengeluaran visa furada merupakan hak mutlak kerajaan Arab Saudi, bakal haji diingatkan supaya menggunakan khidmat syarikat pengelola jemaah haji PJH, yang dilesenkan Tabung Haji untuk menunaikan haji.

Ujarnya, visa furada ialah visa menunaikan haji yang diuruskan sendiri dan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

“Kita sedia maklum dan kita selalu mendengar setiap tahun ada saja laporan-laporan berkenaan dengan bakal-bakal haji terkandas di lapangan terbang, tiada tiket penerbangan, tiada visa dan sebagainya,” katanya dalam sidang medianya di Ibu Pejabat TH
di Bangunan Abraj Al-Janadriyah, Makkah.

Datuk Seri Syed Saleh turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau agensi yang menawarkan pakej haji tanpa kebenaran TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995.

Menurut beliau, sebanyak 22 syarikat telah dilesenkan oleh Tabung Haji sebagai syarikat pengelola jemaah haji.

Untuk rekod, setiap tahun jumlah kerugian membabitkan penipuan visa furada ini berjumlah berjuta-juta ringgit selain beratus-ratus laporan polis telah dibuat melibatkan penipuan sebegini.

Loading...
Terkini