comscore
Tumpuan :
Nasional

Hamidin minta Faisal lupakan seketika tentang bola sepak

Hamidin juga menyeru kepada semua pemain bola sepak Malaysia sentiasa berjaga diri agar perkara buruk itu tidak berulang.

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin nyata sedih atas apa yang berlaku kepada Selangor FC dan tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim, selepas menjadi mangsa simbah asid petang tadi.

Jelasnya, beliau juga memaklumkan bahagian badan yang terkena asid ketika ini tidak begitu baik serta berharap Faisal memberi tumpuan sepenuhnya kepada rawatan pemulihan terlebih dan melupakan seketika tentang bola sepak.

Tegasnya, beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan secepat mungkin ke atas individu yang terbabit selepas apa yang terjadi kepada Faisal dan pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid.

“Kondisi dia cukup saya katakan menyedihkan tapi saya berharap Faisal Halim, isteri dan keluarga akan tabah akan dugaan ini. Bahagian kaki dia nampak ok tiada apa-apa. Bahagian tangan kiri badan belah kiri rusuk dan bahu yang tercedera.

“Saya katakan kepadanya agar melupakan seketika bola sepak dalam tempoh beberapa bulan yang mendatang untuk dia sembuh sepenuhnya daripada asid yang terkena.

“Saya dan seluruh peminat peminat bola sepak mendokan supaya Faisal Halim mahupun Akhyar Rashid cepat sembuh,” katanya selepas melawat di sebuah hospital di sekitar kawasan Damansara.

Selain itu, Hamidin dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar juga bekerjasama untuk memastikan Faisal berada dalam keadaan sihat dan menerima rawatan terbaik agar tiada kecederaan serius menimpa dirinya.

“Setelah bincang tadi dengan Datuk Seri Shahril, kita berharap rawatan secepat mungkin diambil (jika perlu pembedahan). Pembedahan secepat mungkin perlu diambil kepada kepada Faisal. Kita juga akan memastikan doktor terbaik merawat Faisal,” katanya.

Pada masa sama, Hamidin juga menyeru kepada semua pemain bola sepak Malaysia sentiasa menjaga diri agar perkara buruk itu tidak berulang lagi.

Terdahulu, seorang lagi pemain kebangsaan, Akhyar turut menjadi mangsa dan didakwa kehilangan telefon bimbit serta dompet dalam kejadian samun baru-baru ini.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah kondominium di Kuala Terengganu ketika pemain terbabit baru saja pulang dari makan malam.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, Akhyar, 25, yang baru saja turun dari kereta dipukul dengan senjata dipercayai cota di bahagian kepala dan badan oleh suspek yang tak dikenali.

Loading...
Terkini