comscore
Tumpuan :
Nasional

Harga ayam, telur dipantau menjelang Aidilfitri – KPDN

KUALA LUMPUR: Inisiatif di bawah Payung RAHMAH diteruskan dengan mengawal dan menetapkan harga maksimum bagi ayam dan telur ayam sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta pihak pengeluar yang diwakili Persekutuan Persatuan Penternak – Penternak Malaysia (FLFAM) turut terbabit bagi memastikan isu bekalan dan harga ayam dan telur ayam dapat ditangani secara holistik.

KPDN dalam satu kenyataan berkata, FLFAM telah memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur ayam adalah mencukupi sepanjang Ramadan dan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Pihak pengeluar juga telah menyatakan komitmen akan bekerjasama dengan pihak Kementerian bagi menangani sebarang isu gangguan bekalan ayam dan telur ayam di dalam negara dengan menyalurkan segera bekalan ke kawasan yang mengalami gangguan.

“KPDN akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh Negara. Pengguna juga digalakkan membantu kerajaan dalam menyalurkan maklumat serta melakukan aduan ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian.

“Terutamanya berhubung isu kekurangan bekalan atau ketidakpatuhan ke atas harga maksimum ayam dan telur ayam,” katanya.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan berhubung pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, Kementerian telah melakukan 183,047 pemeriksaan dan mengesan sebanyak 2,711 kesalahan berlaku di seluruh Negara.

Antara kesalahan yang dikesan adalah menjual melebihi harga kawalan, kegagalan mematuhi penandaan harga serta kesalahan lain. Nilai kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM482,400.

KPDN terus komited bagi membantu rakyat Malaysia MADANI dalam mengurangkan beban akibat peningkatan kos sara hidup.

“Isu kenaikan harga barang yang tidak munasabah akan ditangani bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan selesa sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

Sebanyak enam saluran boleh digunakan untuk menyalurkan maklumat iaitu melalui WhatsApp di talian 019-279 4317 dan 019-848 8000; Portal e-Aduan http://e.aduan.kpdn.gov.mydan talian rasmi 1-800-886-800.

Pengguna juga boleh menghantar emel di [email protected], mennggunakan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN dan menghubungi di talian Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 atau 03-8882 6245.

Loading...
Terkini