comscore
Tumpuan :
Nasional

Harga makanan di bazar Ramadan Stadium Darul Aman meningkat

Zabedah Di, 60, yang berniaga kuih di bazar Ramadan Stadium Darul Aman terpaksa menaikkan harga sedikit berikutan peningkatan bahan mentah. Foto: NSTP

ALOR SETAR: Harga makanan di bazar Ramadan di Stadium Darul Aman di sini didapati meningkat berbanding tahun lalu.

Tinjauan hari ini mendapati, peningkatan harga itu lebih ketara pada kuih muih dan air balang.

Peniaga mendakwa, kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak paket serta gula dan tepung menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual mereka.

Zabedah Di, 60, berkata, harga kuih yang dijualnya meningkat sikit antara 50 Sen hingga RM1.50 bergantung pada bahan yang digunakan.

Katanya, kebanyakan pengguna faham dengan harga kuih yang meningkat kerana peniaga terpaksa menaikkan harga walaupun sedikit.

Peniaga kuih, Sri Dayanti Tamin, 53, berkata, harga kuih yang dijualnya masih dijual pada harga biasa berbanding sebelum ini.

Katanya, satu paket kuih seperti tepung talam dijual pada harga RM1.50 hingga RM2.50 satu tetapi saiznya kecil sedikit.

“Saya jual hampir 50 jenis kuih tahun ini tetapi harganya tetap macam biasa,” katanya.

Peniaga martabak, Ismail Ahmad, 55, berkata, harga martabak daging dan ayam yang dijualnya meningkat kepada RM7 hingga RM8 sebiji berbanding RM5 hingga RM6 tahun lalu.

Katanya, harga telur dan bahan mentah lain yang meningkat menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual tahun ini.

Pembeli, Aisyah Mat Isa, 40, berkata, dia tetap membeli kuih sebagai hidangan utama ketika berbuka walaupun ada peningkatan harga.

Bagaimanapun katanya, harganya tidak terlalu mahal dan hanya naik antara 50 sen hingga RM1 setiap satu.

“Kalau masak sendiri pun sama jugak, kos bahan mentah mahal, jadi Saya ambil keputusan untuk membeli sahaja.

“Namun saya berharap harga seperti ini tidak dinaikkan lagi bagi mengelakkan kami terbeban,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini