comscore
Tumpuan :
Nasional

Hari Kebangsaan 2023: ‘Janganlah kita leka dan terus “bercakaran” sesama sendiri..’ –  Abang Johari

MUKAH: Tan Sri Abang Johari Abang Openg mahu semua pihak untuk tidak saling ‘bercakaran’ agar usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara dapat dilakukan dengan lancar.

Premier Sarawak itu mengakui sedih dengan sikap segelintir pemimpin di negara ini yang berterusan menggunakan isu kaum dan agama bagi meraih sokongan politik.

Artikel berkaitan: 13 ‘bayi merdeka’ dilahirkan di Hospital Tunku Azizah

Ujarnya lagi, sikap itu amat tidak baik untuk negara yang turut terkesan akibat pelbagai permasalahan yang sedang berlaku seluruh dunia dan menyeru semua pemimpin bersatu untuk menghadapi setiap permasalahan yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Saya agak sedih kerana kebelakangan ini negara tidak begitu berupaya untuk memfokuskan tenaganya untuk kemajuan keseluruhannya.

“Terdapat pemimpin yang kelihatan agak terdesak untuk menggunakan isu kaum dan agama yang boleh memecah belahkan masyarakat majmuk semata-mata untuk meraih sokongan politik.

“Sudah pastinya ini tidaklah baik untuk negara ketika dunia bergelut dengan pelbagai masalah khususnya pandemik COVID-19, peperangan dan perubahan iklim global,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak di Dewan Politeknik Mukah, Mukah, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Yang Dipertua Negeri, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar dan isteri, Puan Sri Fatimah Mohamad Iskandar.

Sambutan ini diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan daripada etnik tempatan Sarawak dengan acara kemuncaknya menaikkan Jalur Gemilang oleh Angkatan Tentera Laut  Diraja Malaysia (TLDM).

“Alhamdulillah, bagi Sarawak kestabilan politik dan keutuhan kerajaan di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi ruang kepada kita untuk melakar hala tuju yang jelas dari segi pembangunan ekonomi, khususnya melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 (PCDS 2030),” jelas beliau.

Dalam tempoh empat tahun, Sarawak katanya mampu mencatat peningkatan pendapatan satu setengah kali ganda kepada hampir RM12 bilion sekaligus membolehkan negeri itu diiktiraf negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia lebih awal daripada jangkaan.

Loading...
Terkini