comscore
Tumpuan :
Nasional

Hasrat lebih 100 jemaah tunai umrah Ramadan tidak kesampaian

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Hasrat lebih 100 bakal jemaah untuk melaksanakan ibadah umrah pada Ramadan kali ini tidak kesampaian, apabila agensi pengendali umrah yang dipilih memutuskan untuk menangguhkan trip mereka ke Tanah Suci.

Dakwa bakal jemaah, apa yang dikesali adalah tindakan agensi berkenaan yang memberi makluman kepada mereka pada saat-saat akhir.

Menurut Dr Siti Katijah Johari, beliau sepatutnya terbang ke Tanah Suci bersama suami dan anaknya hari ini.

Bagaimanapun, beliau menerima panggilan daripada wakil agensi, kelmarin memberitahu penerbangannya dibatalkan dan akan ditunda pada Ogos atau September depan.

“Saya beritahu (wakil agensi) saya tidak minta Ogos dan September. Saya nak pergi umrah Ramadan. Saya datang ke sini untuk minta memo pembatalan (trip), pasport dan bayaran balik penuh,” katanya.

Dr Siti Katijah ditemui bersama sekumpulan bakal jemaah di ibu pejabat agensi pengendali umrah tersebut dekat sini, semalam.

Seorang lagi bakal jemaah, Rusman Abu Samah berkata, beliau dan isteri sepatutnya ‘diterbangkan’ pada 9 April ini untuk mengerjakan umrah pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun katanya, mereka berdua kecewa apabila tidak mendapat kepastian berhubung tiket penerbangan daripada wakil agensi.

Justeru, pasangan berkenaan mengambil inisiatif dengan menempah sendiri tiket penerbangan serta penginapan dan bakal bertolak ke Tanah Suci pada 12 April ini.

“Kami nak batalkan (pakej umrah) tapi kalau batalkan sekarang dan ikut terma dia (agensi), kami tidak dapat bayaran balik penuh. Jadi kami terpaksa tunggu dan batalkan selepas 9 April. Kononnya dia (agensi) kata nak dapat bayaran balik penuh ambil masa tiga ke enam bulan. Bukan sedikit, RM21,000 seorang.

“Malam tadi (semalam) saya dan isteri kelam kabut membuat tempahan kerana kami dah berniat nak buat umrah pada 10 malam terakhir Ramadan. Jadi kami terpaksa mengeluarkan duit lain kerana belum mendapat bayaran balik,” katanya.

Menurutnya, beliau juga akan membuat laporan polis, selain aduan di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung perkara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif agensi syarikat pengendali terbabit, Datuk Dr Zulkarnain Endut berkata, penangguhan trip tersebut disebabkan kenaikan mendadak kos dari segi penginapan dan tiket kapal terbang.

Ia berikutan permintaan tinggi seluruh dunia selepas kelonggaran pada sekatan-sekatan COVID-19 di Arab Saudi berbanding Ramadan tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, setiap bakal jemaah diberi tiga pilihan sama ada membatalkan pakej, menangguhkan trip ke bulan-bulan berikutnya atau membayar tambahan pakej sekiranya masih mahu meneruskan perjalanan.

“Saya rasa ramai syarikat pengendali melihat keadaan ini (tunggakan jemaah) sebagai pertama kali berlaku dalam industri kerana tidak pernah dengar sebelum ini. Pandemik COVID-19 mengakibatkan jumlah tunggakan jemaah yang ingin mengerjakan umrah adalah ramai.

“Sebenarnya apa yang kita buat adalah mencari bilik-bilik mengikut bajet yang kita tetapkan di awal-awal Ramadan. Kita sepadankan dengan tiket-tiket penerbangan yang harganya baik supaya tidak menambah kos kepada agensi pengendali dan juga jemaah. Tapi bila dah mendekati pertengahan Ramadan atau 10 Ramadan ke atas, peluang untuk nak dapatkan (sepadan) adalah lebih sukar.

“Itu menyebabkan opsyen yang kita beri kepada jemaah adalah menambah harga pakej. Kita tahu kebanyakan mereka telah beli (pakej) beberapa bulan lalu, ada yang beli setahun lepas. Ada yang beli waktu pandemik atau sebelum pandemik. Tapi harga sekarang dah berbeza jauh. Jadi kita beritahu (jemaah) kena ada penambahan harga kira-kira RM5,000 (sekiranya mahu teruskan).

“(Pilihan) kedua adalah penjadualan semula trip-trip sama ada ke Ramadan tahun depan ataupun ke bulan-bulan lain yang kita rasa isu ‘backlog’ (tunggakan jemaah) ini akan berkurang.

“Yang ketiga adalah pembatalan pakej. Maksudnya kalau dia rasa dah tak berminat, dia boleh batalkan. Ini semua (termasuk bayaran balik) ada dalam Akta Industri Pelancongan 1992 serta terma dan syarat pakej. Ia bukan satu peraturan yang tiba-tiba (wujud),” katanya.

Isnin lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dilaporkan menegaskan jemaah tidak dibenarkan mengulang umrah pada Ramadan dan mereka dibenarkan mengerjakannya sekali sahaja.

Portal berita Saudi Gazette melaporkan, langkah terbabit bagi memberi peluang kepada jemaah lain untuk menunaikan umrah pada bulan mulia itu.

Loading...
Terkini