comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: Insiden dicemari komen biadab netizen

Oleh: Ahmad Kamarulzaman Hamid

PETALING JAYA: Tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung lalu terhempas yang mengorbankan 10 nyawa semalam, dicemari dengan komen-komen biadab daripada netizen di pelbagai platform media sosial.

Antara yang mendapat perhatian adalah satu komen di platform X yang mempertikaikan perjuangan dan keperwiraan anggota dan pegawai TLDM yang terlibat dalam nahas terbabit.

Komen yang tidak sensitif dan melampau itu mendapat kecaman hebat daripada pengguna-pengguna lain yang menyifatkan komen tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan sangat biadab serta tidak menghormati ahli keluarga dan waris terdekat semua mangsa.

Satu lagi komen yang berbaur gurauan di platform Facebook turut mendapat kecaman hebat pengguna media sosial.

Komen tidak sensitif terhadap nasib yang menimpa mangsa-mangsa tragedi tersebut dilihat netizen sebagai mempermain-mainkan takdir, selain percaya kepada tarikh-tarikh tertentu yang ternyata merupakan perbuatan yang syirik.

Situasi ini menyebabkan sebilangan netizen meluahkan rasa kesal dan bimbang terhadap adab dan akhlak semasa masyarakat negara ini yang ternyata tidak selari dengan norma agama dan adat ketimuran.

Mengulas lanjut mengenai perilaku tidak berhemah pengguna-pengguna media sosial yang semakin merisaukan ini, Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Ts. Mohd Hilmi Bakar menyatakan, terdapat beberapa faktor yang menjadi punca munculnya komen-komen negatif tersebut.

Antaranya, kurang empati dalam diri sendiri dan kurang kefahaman tentang situasi yang sedang berlaku.

“Ada sesetengah netizen menganggap perkara yang berlaku adalah remeh dan boleh dijadikan bahan jenaka, sehinggalah jika perkara tersebut terjadi kepada ahli keluarga terdekat mereka.

“Ada juga individu yang menggunakan situasi ini sebagai peluang untuk menzahirkan perasaan negatif atau menunjukkan rasa kecewa terhadap individu atau situasi lain, menyebabkan individu ini menulis komen yang agak keterlaluan,” ujarnya ketika dihubungi Buletin TV3.

Tambahnya lagi, umum diketahui bahawa media sosial merupakan platform di mana netizen lebih berani bersuara berbanding memberi pendapat secara berdepan (dipanggil sebagai mediated communication).

“Namun, ini bukan isu hak kebebasan bersuara, tetapi isu kurang empati dalam diri sendiri.

Hilmi turut berpesan agar pengguna-pengguna media sosial dapat mendidik diri sendiri mengenai cara memberi respon terhadap komen-komen negatif ini.

“Kekal tenang, jangan respon dengan emosi tetapi dengan penuh hikmah.

“Kita boleh juga ambil peluang, gunakan platform media sosial sendiri untuk mendidik pengguna lain cara dan adab memberi komen dan berdialog secara konstruktif.

“Jika tidak ada perkara baik yang boleh dilafazkan, maka lebih baik untuk kita berdiam diri,” ujarnya.

Individu-individu yang menggunakan media sosial secara tidak berhemah boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi Multimedia 1998 Seksyen 233 yang apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini