comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: ‘Wajahnya tenang, seakan sedang tidur’ – Bapa

SITIAWAN: “Ketika membuat pengecaman anak sulung tadi saya lihat wajahnya tenang seakan seperti sedang tidur. Saya reda dengan kejadian itu dan dia pergi ketika berkhidmat kepada negara,” kata Mohd Termizi Abdul Ghani.

Mohd Termizi, 68, adalah bapa kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41, yang terkorban dalam nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia dimaklumkan kejadian menimpa anak sulung daripada tujuh beradik itu daripada seorang anaknya pada 10 pagi tadi ketika berada di Ipoh atas urusan kerja.

“Dalam perjalanan itu saya dapat banyak panggilan telefon sebelum dimaklumkan yang anak sudah tiada. Memang sedih namun saya reda dengan kejadian itu apatah lagi anak ‘pergi’ ketika berkhidmat kepada negara.

“Saya terima berita sedih itu dengan tenang kerana saya tahu kerja anak berisiko dan (sebagai manusia) kematian (berlaku) di mana saja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Tanjong, Lekir, di sini.

Pesara kerajaan itu berkata, dia tiba di Pangkalan TLDM pada 12 tengah hari sebelum dia dan waris mangsa lain diberikan taklimat berkaitan mengenai kejadian oleh pihak berkaitan.

Menurutnya, menantunya yang juga isteri Mohd Shahrizan, Noor Ain Mohammad Ariffin, 41, dan tiga cucu berusia 15 hingga 21 tahun juga menerima kejadian itu dengan tenang.

“Saya buat pengecaman anak dua kali di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut dan isteri juga (Hasnah Yasin, 67) juga ada bersama. Saya lihat wajah anak tenang seperti tidur dan dimaklumkan arwah cedera di kaki dan tangan,” katanya.

Katanya, pemergian Mohd Shahrizan sangat dirasai dan anaknya disifatkan seorang yang baik, bertanggungjawab dan sangat mengambil berat serta disenangi semua keluarga.

“Arwah juga selalu ziarah kami di rumah dan kali terakhir saya jumpa Mohd Shahrizan pada Sabtu lalu. Ketika itu kami bersembang seperti biasa dan dia juga tidak menunjukkan apa-apa perubahan. Dia juga rapat dengan saya dan isteri,” katanya.

Mohd Termizi berkata, Mohd Shahrizan sudah lebih 20 tahun berkhidmat dalam TLDM dan anak juga baru selesai menjalani kursus untuk kenaikan pangkat kepada Pegawai Waran I.

“Anak dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan selepas itu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Lekir selesai semua urusan selesai,” katanya memberitahu anaknya itu tinggal di Taman Lekir Indah, di sini.

Mohd Shahrizan adalah antara tiga kru pesawat Fennec yang terbabit nahas dengan sebuah lagi aset TLDM iaitu HOM-AW139 yang dinaiki tujuh anggota.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini