comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Henti politikkan isu pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan – PM

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak untuk menghentikan perbalahan politik mengenai isu keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Selaku ketua kerajaan, beliau menegaskan pihaknya menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini yang menekankan keperluan untuk meredakan suhu terkait keputusan mahkamah tertinggi itu.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan perlu dihormati kerana Mahkamah Persekutuan tunduk kepada hukum dan semangat perlembagaan. Tidak timbul hendak meringankan, hendak perlekehkan kedudukan Mahkamah Syariah”

“Kerajaan menyambut baik kenyataan Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan masih tegas dengan semangat perlembagaan negara.” katanya dalam ucapan di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Ibu Negara.

Justeru Datuk Seri Anwar berkata, pihak yang mempunyai cadangan boleh merujuk kepada jawatankuasa khas.

“Kalau ada pun tindakan dan cadangan baru rujuk kepada jawatankuasa khas. Kita telah lantik Mantan Hakim Negara, Tun Zaki Azmi bagi mempengerusikan jawatankuasa mengkaji masalah dibangkit oleh negeri dan masyarakat Islam tapi tonggak Perlembagaan tidak boleh dirungkai,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri Kabinet dan Presiden ACCCIM, Tan Sri Low Kian Chuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini