comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Black Friday’ kepada undang-undang syariah – Takiyuddin 

PUTRAJAYA: PAS mendakwa keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah sebagai sejarah hitam kepada umat Islam negara ini.

Menyifatkan hari keputusan itu sebagai ‘Black Friday’, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ketetapan yang diputuskan mahkamah itu bakal memberi kesan buruk kepada undang-undang syariah di 14 negeri.

“Kita amat sedih, ini adalah Black Friday, Jumaat yang hitam kepada undang-undang syariah Islam,” katanya.

Beliau mendakwa keputusan mahkamah itu boleh memberi impak kepada undang-undang jenayah syariah di negeri lain.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Dalam keputusan penghakiman 8-1, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Ditanya tindakan yang akan diambil selepas ini, Takiyuddin memaklumkan, ramai Ahli Parlimen akan mengemukakan soalan berhubung perkara itu pada sesi Dewan Rakyat yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini