comscore
Tumpuan :
Nasional

Hero sanggup bersengkang mata buat garis kuning pada bonggol jalan

HULU BERNAM: Demi rasa tanggungjawab menjaga keselamatan pengguna jalan raya, sekumpulan penduduk kampung wajar dipanggil hero kerana sanggup bersengkang mata membuat garis kuning pada bonggol jalan dekat Kampung Seri Keledang sehingga jam 1 pagi tadi.

Jalan kampung berkenaan merupakan jalan pintas yang sering digunakan orang ramai terutama dari Sabak Bernam,Selangor menuju ke Slim River, Perak dan utara tanahair.

Penduduk kampung, Mohd Hadri Hamdzah ,38, berkata, terdapat kira-kira 10 bonggol jalan perlu dihadapi pengguna yang melewati laluan itu.

Katanya, bonggol jalan yang tidak mempunyai garis kuning boleh membahayakan pengguna terutama kepada mereka yang pertama kali melalui jalan terbabit.

Malah,  ketiadaan garis kuning boleh merosakkan kenderaan kerana kadangkala penduduk sendiri tidak perasan kewujudan bonggol terbabit.

“Dengan adanya garis kuning sekurang-kurangnya pengguna akan memperlahankan kenderaan apatah lagi ketika melewati kawasan perumahan penduduk. Kami berharap dengan adanya garis kuning, pengguna jalan berkenaan akan memperlahankan kenderaan dan memandu dengan berhati-hati,” katanya.

Kira-kira tujuh penduduk bergotong royong membuat garis kuning berkenaan bermula jam 11 malam menggunakan alatan yang disumbangkan ADUN Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.

“Cat yang digunakan merupakan cat yang berkualiti dan khas untuk membuat garis jalan serta nampak jelas walaupun pada waktu malam. Inilah usaha dan tenaga yang dapat disumbangkan bagi menjamin keselamatan penduduk dan kenderaan yang lalu lalang di jalan terbabit,” katanya.

Sebelum ini,  penduduk berkenaan juga pernah berjaga hingga ke pagi bagi menampal jalan  berlubang dengan menggunakan simen.

Loading...
Terkini