comscore
Tumpuan :
Nasional

Hormati kabinet PM, Warisan tidak kejar jawatan

Datuk Mohd Azis Jamman , Ketua Penerangan Warisan yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri dan bekas Ahli Parlimen Sepanggar.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Parti WARISAN menghormati pembentukan barisan kabinet yang dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun ada nada-nada kecewa khususnya melibatkan pimpinan tertinggi Sabah terhadap kurangnya wakil pimpinan dari negeri itu dalam barisan kabinet Kerajaan Perpaduan baharu.

Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman berkata walaupun Warisan antara parti terawal dan konsisten menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Warisan bukanlah parti yang mengejar jawatan semata-mata sebaliknya prinsip asas perjuangan iaitu mengutamakan tuntutan hak-hak Sabah dengan harapan Perdana Menteri menunaikan janjinya untuk melunaskan tuntutan Sabah dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tambahnya fokus juga perlu diberikan kepada usaha untuk membantu rakyat kerana ramai rakyat yang terkesan dengan kegawatan ekonomi negara yang agak membimbangkan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi setiap hari.

“Namun saya berpandangan siapa pun yang dilantik itu adalah prerogatif Perdana Menteri yang patut dihormati dan tidak sepatutnya timbul lagi soal kecewa kerana rakyat Sabah telah diberikan peluang untuk mengundi dan memilih.” Katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan malam semalam.

Jelasnya lagi rakyat telah memilih dan mengundi mengikut apa yang mereka yakin dan percaya boleh membantu Sabah dan terbukti pengundi lebih mempercayai keupayaan parti-parti yang berpusat di Semenanjung Malaysia berbanding parti yang beribu pejabat di Sabah dalam memperjuangkan hak dan kepentingan mereka dan semua pihak sewajarnya perlu menghormati keputusan dan pilihan rakyat dan melihat ke hadapan.

“Saya memahami ada juga segelintir penyokong Warisan yang kecewa kerana tiada wakil Warisan di dalam Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun Warisan telah konsisten malah tidak pernah memberikan perakuan bersumpah (SD) kepada calon-calon lain sejak dari awal lagi bermula ketika selepas langkah Sheraton.

“Pemilihan diantara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu, Warisan telah memberikan SD kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pada ketika itu Warisan telah ditawarkan dengan pelbagai jawatan dan habuan namun Warisan kekal pada prinsipnya untuk tidak ingin mengkhianati mandat rakyat dan sanggup duduk di belakang kerusi ketua pembangkang Datuk Seri Anwar di parlimen.”

“Begitu juga setelah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) apabila tiada parti yang melepasi angka 111 kerusi, Warisan sekali lagi menjadi parti terawal yang telah memberikan SD kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim namun apa bila Kabinet dibentuk tanpa satu pun jawatan kabinet diberikan kepada Warisan berbanding parti-parti yang baru menunjukkan sokongan setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri,” tambahnya.

Datuk Azis yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata tempoh masa wajar diberikan kepada Anwar untuk mencerakin dan menulusuri sejarah perjanjian MA63 serta menunaikan dan melaksanakan apa yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan Sabah, namun tidak sewajarnya memakan masa yang lama kerana perjanjian itu adalah perjanjian antarabangsa yang sah dari segi undang-undang.

“Hari ini WARISAN sudah berada di pihak kerajaan persekutuan walaupun dengan jumlah yang jauh lebih kecil, namun kita tidak sewajarnya menjadikan itu sebagai alasan untuk kita patah semangat kerana parti-parti besar yang lain seperti UMNO, MIC dan MCA juga telah menunjukkan pencapaian yang tidak baik sejak beberapa pilihanraya yang lepas,” katanya lagi.
Keputusan pilihanraya yang lalu juga ujar Azis adalah manifestasi bahawa rakyat Sabah masih belum punya keyakinan untuk berdiri di atas kaki sendiri tidak seperti rakyat di wilayah jiran iaitu Sarawak yang lebih mempercayai parti tempatan untuk memperjuangkan nasib dan masa depan mereka, dan mungkin Sabah perlu lebih masa untuk meyakinkan rakyat Sabah itu sendiri bahawa Sabah juga boleh menjadi sama seperti Sarawak.

Pada PRU-15 lalu WARISAN hanya memenangi tiga kerusi parlimen iaitu Semporna yang dipertahankan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kerusi Parlimen Lahad Datu yang dimenangi adiknya, Datuk Mohd Yusof Apdal dan kerusi Parlimen Kota Belud yang dipertahankan Ketua Wirawati WARISAN, Isnaraissah Munirah Majilis.

Berbanding PRU-14 pada 2018, WARISAN memenangi lapan kerusi Parlimen di Sabah iaitu Semporna, Lahad Datu, Kalabakan, Papar, Penampang, Sepanggar, Kota Belud dan Batu Sapi.

Loading...
Terkini