comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Hospital seluruh negara diarah berjaga-jaga esok jika mogok diteruskan

 

PETALING JAYA: Pengarah Kesihatan negeri dan hospital di seluruh negara diarah berada dalam keadaan berjaga-jaga bermula esok sekiranya kumpulan doktor kontrak meneruskan rancangan mengadakan mogok.Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata pemantauan akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) di fasiliti kesihatan bagi memastikan perkhidmatan tetap seperti biasa.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa

“Dari segi pelan kecemasan, kita buat juga pemantauan dan pengarah kesihatan negeri serta hospital dalam mod berjaga-jaga,” katanya kepada BH, hari ini.

Doktor kontrak merancang melakukan mogok selama tiga hari di seluruh negara bermula esok kerana kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

Dr Zaliha menegaskan memahami kesukaran dialami golongan berkenaan, namun mogok bukan penyelesaiannya.

“KKM ada mengeluarkan peringatan kepada doktor dan mengingatkan mereka mengenai kepentingan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Ditanya sama ada KKM akan mengambil tindakan terhadap doktor kontrak yang terbabit dalam mogok berkenaan, Dr Zaliha menjawab: “Mereka tertakluk kepada integriti penjawat awam dan etika perkhidmatan awam.”

Peringatan yang dikeluarkan KKM terhadap penjawat awam supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan haram adalah selaras Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 30 Jun 2011.

Surat itu kembali disiarkan di Facebook KKM dengan Unit Integriti kementerian itu menyatakan pembabitan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4 (1) dan 4(2), P.U.(A) 395/1993.

Melalui akaun Instagram ‘Mogok Doktor Malaysia’ setakat semalam, mereka tetap mahu meneruskan mogok berkenaan dengan mengambil cuti sakit dan cuti kecemasan tetapi tidak membabitkan perhimpunan.

Langkah itu adalah protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Kumpulan itu juga memberi amaran kira-kira 3,000 doktor kontrak akan meletak jawatan daripada KKM secara berperingkat.

Loading...
Terkini