comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM catat 2 kes kematian strok haba, 45 kes penyakit berkaitan haba setakat semalam

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: 45 kes penyakit berkaitan haba direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat semalam susulan status cuaca panas melanda negara ketika ini.

Daripada jumlah itu, 33 kes membabitkan kelesuan haba, 11 kes strok haba dan satu kes kejang haba.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata secara kumulatif, dua kes kematian akibat strok haba turut dilaporkan dalam tempoh sama.

Beliau berkata kes kematian terbabit melibatkan seorang lelaki berumur 22 tahun dan kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun di Kelantan.

“Pada masa ini, terdapat empat kes yang masih mendapat rawatan di hospital iaitu satu kes strok haba yang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan tiga kes dirawat di wad biasa, yang terdiri daripada dua kes strok haba dan satu kes kelesuan haba. Kes-kes lain telah sembuh dan didiscaj.”

Katanya, kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan seorang lelaki berumur 24 tahun, dimasukkan ke ICU Hospital Port Dickson semenjak 10 Mac lalu dan sudah dipindahkan ke ICU Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, pada 5 April lalu.

Bagi keseluruhan 45 kes itu, beliau berkata pecahan setiap negeri adalah masing-masing lapan kes di Perak dan Kedah, enam di Selangor serta masing-masing lima di Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Empat kes di Sabah, dua kes di Perlis, satu kes di Pulau Pinang dan satu satu di Kelantan,” katanya.

KKM menasihatkan semua pihak meneruskan langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktviti fizikal lasak serta aktiviti-aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang.

“Orang awam juga diminta agar mengelakkan diri daripada terdedah kepada cuaca panas, banyakkan berteduh dan berehat lebih kerap semasa cuaca panas, memilih untuk melakukan ziarah pada waktu kurang panas atau waktu malam, terutamanya ketika mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan semasa perayaan,” katanya.

Katanya, orang awam juga boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca- panas/) dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas melalui laman sesawang KKM.

Semalam, status cuaca panas dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam merekodkan beberapa kawasan berada pada Tahap Amaran Satu.

Ia melibatkan seluruh negeri Perlis, Kedah (Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Yan, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu, Baling, Padang Terap, Sik), Pulau Pinang (Timur Laut), Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta), Kelantan (Gua Musang), Pahang (Raub), Sarawak (Limbang) dan Sabah (Tenom, Beaufort, Tuaran).

Satu kawasan direkodkan berada di Tahap Amaran Dua sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut iaitu Pokok Sena, Kedah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini