comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM arah Lazada padamkan iklan dan jualan ‘Kingu Ginseng Candy’

Gula-gula ginseng buatan Malaysia, ‘Kingu Ginseng Candy’ dikesan mengandungi tadalafil.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan platform jualan dalam talian, Lazada supaya memadamkan kandungan iklan dan penjualan produk gula-gula yang didapati mengandungi tadalafil serta merta.

KKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan siasatan telah dijalankan melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) terhadap gula-gula ginseng dari Malaysia iaitu “Kingu Ginseng Candy” yang dikesan mengandungi tadalafil selepas mengambil maklum laporan mengenai nasihat yang dikeluarkan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA).

“Tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk. Ubat-ubat yang mengandungi tadalafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor,” katanya.

Menurut KKM, siasatan pihaknya mendapati label produk tersebut tidak mematuhi kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar, empunya hak untuk mengilang ataupun pengimport.

KKM memberi amaran penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh mengakibatkan kesan kesihatan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran.

Selain itu, kesannya adalah penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung

Katanya lagi, menurut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.

Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, KKM mengarahkan peniaga termasuk peniaga dalam talian yang mempunyai stok produk ini diarahkan untuk menghentikan serta merta penjualan produk berkaitan.

Semua platform e-dagang dan media sosial turut diminta untuk menghentikan penyiaran kandungan iklan makanan tersebut serta merta.

Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini pula perlu menghentikan penggunaan dan mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.

KKM menyeru sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melayari laman sesawang serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini