comscore
Tumpuan :
Nasional

Hujan berterusan punca tanah runtuh di Cameron Highlands

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Hujan berterusan dikenal pasti sebagai punca tragedi tanah runtuh di Cameron Highlands, Pahang pada 26 Januari lalu yang mengakibatkan lima mangsa maut.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menjalankan siasatan tapak bagi mengenal pasti punca kejadian.

Selain itu, siasatan juga bagi menentukan zon bahaya dan zon kawalan kawasan kejadian untuk memastikan keselamatan anggota agensi tindak balas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

“Siasatan awal JMG mendapati punca kejadian ini disebabkan hujan yang berterusan bermula pada jam 3 petang, 24 Januari 2024 dengan jumlah kumulatif hujan harian mencapai 126 milimeter pada 25 Januari 2024 (Sumber: publicinfobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran).

“Hujan berterusan ini menyebabkan cerun semula jadi yang berkecuraman tinggi yang didasari batuan granit (lebih daripada 35 darjah) cenderung untuk runtuh,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan, lima warga Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) disahkan maut dalam kejadian tanah runtuh di kebun sayur Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands pada 26 Januari lalu.

Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman dilapor berkata, kebun seluas kira-kira 4.31 hektar itu diusahakan secara haram sejak lebih setahun lalu, malah pernah disita Jabatan Perhutanan pada April tahun lalu selain pengusahanya turut pernah ditahan sebelum ini.

Mengulas lanjut, NRES berkata, bagi mengelak risiko kejadian bencana geologi tanah runtuh, JMG mengesyorkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil kira input Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) dalam perancangan pembangunan dan pengawalseliaan aktiviti kelestarian pertanian di kawasan bercerun.

NRES turut akan mengkaji kesesuaian pemasangan sistem amaran awal seperti tolok hujan secara komprehensif terutama di kawasan yang dikenal pasti berkerentanan tinggi tanah runtuh.

Ia dijangka disiapkan pada hujung tahun ini di tujuh kawasan terpilih.

“Pihak JMG dari semasa ke semasa akan memperluas dan mengemas kini peta berkaitan melalui PBRC dalam menyalurkan maklumat berkenaan kawasan potensi bahaya tanah runtuh kepada pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, NRES komited terhadap aktiviti penyelidikan dan penggunaan teknologi tinggi terkini dalam mengenal pasti serta pemantauan kawasan ‘hotspot’ bencana geologi.

NRES juga bersedia bekerjasama dengan PBT dan agensi teknikal untuk memperluas program pengurusan risiko bencana melibatkan komuniti
(CBDRM) kepada penduduk kawasan sekitar bagi meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap bahaya bencana geologi tanah runtuh.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini