comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tanah Runtuh Cameron Highlands: Pasukan SAR temui mayat mangsa ketiga

Oleh: Fareez Azman

CAMERON HIGHLANDS: Satu lagi mayat mangsa berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat dalam kejadian tanah runtuh di kebun sayur di Batu 54, Blue Valley, di sini pada tengah hari Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli, mayat mangsa ketiga itu ditemui kira-kira jam 12.15 tengah hari dibantu unit anjing pengesan K9.

“Pada jam 12.15 tengahari pasukan penyelamat telah menjumpai mayat di kawasan sektor D. Seramai 119 petugas terlibat di lokasi kejadian pada hari ini.

“Pegawai Forensik dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah sampai dan akan mengenal pasti identiti mayat berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Ujarnya, mayat mangsa mengambil masa kira-kira sejam untuk diusung keluar oleh pasukan SAR sebelum dibawa menggunakan kenderaan polis.

Tambahnya, identiti dua mayat mangsa sebelum ini telah dikenal pasti sebagai Law Ha Phe, 36, dan Ki Shing Om, 48 tahun.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi berkata operasi kini tertumpu di sektor B, C dan D.

“Bomba akan follow up sektor B, C dan D. Pencarian akan dibantu jentera berat. Kita harap akan membantu pencarian.

“Jentera berat berantai telah sampai akan dibawa ke lokasi kejadian mengambil masa sejam,” katanya.

Loading...
Terkini