comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu bapa perlu jujur memaklumkan tahap kesihatan anak masing-masing – Dzulkefly

BATU PAHAT: Ibu bapa perlu jujur memaklumkan tahap kesihatan anak-anak kepada sekolah, manakala pengurusan sekolah juga perlu sentiasa kemas kini rekod kesihatan semua pelajarnya.

Menteri Kesiihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata semua pihak terlibat perlu mengambil serius berhubung masalah kesihatan pelajar untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, rekod atau sejarah kesihatan membabitkan pelajar penting untuk menentukan sama ada seseorang dapat meneruskan atau diberi pengecualian dalam sebarang aktiviti sukan.

“Seperkara lagi ialah ibu bapa perlu jujur memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai tahap kesihatan anak masing-masing,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Amanah Negara (Amanah) di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Parit Keroma, di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah dekat Jalan Kampung Gentam, Taman Fatimah yang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa semalam.

Tambah Dzulkefly, beliau tidak boleh membuat sebarang kesimpulan selagi belum meneliti punca sebenar kejadian itu.

“Siasatan terhadap kematian adalah di bawah operasi pihak hospital.

“Soal aktiviti luar bilik darjah untuk mengelakkan kesan buruk gelombang haba dan cuaca panas adalah di bawah budi bicara sekolah dan Kementerian Pendidikan.

“Saya menyatakan simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya.

Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, rebah pada jam 9.30 pagi lalu dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian.

Allahyarham menyertai sukan anjuran sekolah itu bersama kira-kira 700 pelajar lain kira-kira jam 8 pagi.

Mangsa dilaporkan rebah ketika menghampiri garisan penamat dan tidak sedarkan diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini