comscore
Tumpuan :
Nasional

Ikan Arowana mati selepas dua hari di akuarium

Gambar ikan arowana dalam akuarium dirakam keluarga K Vijandran.-Foto ihsan Vijandran.

JOHOR BAHRU: “Hasrat kami untuk membela beberapa ikan arowana yang ditangkap di parit tidak kesampaian apabila ia mati dalam tempoh dua hari,” kata seorang pekerja swasta, K Vijandran.

Menurut Vijandran, dia dan ahli keluarganya adalah antara puluhan penduduk di kawasan Layang-Layang, Kluang yang tidak ketinggalan menangkap ikan hanyut akibat kolam pecah dari kawasan berdekatan.

Semangatnya makin tinggi apabila keluarganya turut menyatakan minat mahu membela ikan yang dipercayai bernilai ribuan ringgit seekor itu.

“Sebelum ini saya memang pernah membela ikan jenis yang sama dan pada kali ini apabila menerima maklumat penduduk menemukan ikan arowana di parit dan sungai, kami juga ke lokasi berkenaan dan menemukan ikan bersisik keemasan dan putih-ungu.”

“Malangnya tiga ekor ikan yang ditangkap hanya bertahan selama dua hari selepas dimasukkan ke akuarium dan kami percaya ia berikutan air di longkang dan parit di kebun sawit agak keruh dan tidak sesuai,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Vijandran, beliau mendapat maklumat beberapa ikan jenis sama yang ditangkap oleh beberapa kenalannya yang tinggal di kawasan berhampiran juga mati.

“Hanya gambar ikan dalam akuarium yang kami rakam menjadi kenangan,” kata Vijandran.

Vijandran berkata beberapa penduduk di kawasan berkenaan juga mendakwa menemukan cip pengenalan di dalam ikan berkenaan.

Menurutnya, dia difahamkan ada yang memasak ikan ditemukan mereka.

Sementara itu, seorang penduduk dikenali sebagai Hassan, 70, berkata dia tidak pasti ikan berkenaan sesuai dimakan kerana ia memiliki cip.

“Ada penduduk yang bebas memakan ikan tanpa mengenalpasti ia sihat dan sesuai dimakan atau tidak,” katanya.

Kelmarin media melaporkan ribuan ikan spesis arowana ditemukan dalam kawasan anak sungai dan parit sekitar kawasan Layang dan Simpang Renggam.

Ikan hiasan bersisik emas dan putih dengan anggaran berat dua kilogram seekor dipercayai dihanyutkan dari kawasan kolam ternakan di kawasan berdekatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini