comscore
Tumpuan :
Nasional

Indikator baharu ukur tahap kos sara hidup rakyat akan dibangunkan – PM

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

Oleh: Azwaliza Azman

PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini bersetuju agar Jabatan Perangkaan (DOSM) membangunkan satu indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat itu di Bangunan Parlimen hari ini berkata, ia sekaligus membantu kerajaan merangka pelaksanaan program lebih tepat dan berkesan.

Beliau berkata NACCOL juga membincangkan secara terperinci beberapa perkara berkaitan kos sara hidup rakyat khususnya isu harga dan ketersediaan bekalan beras dalam negara.

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

“Beberapa mekanisme jangka pendek telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi laman sosial Facebook.

Datuk Seri Anwar turut menekankan keperluan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atas peluasan skop dan perubahan kadar Cukai Perkhidmatan yang dilaksanakan ke atas beberapa perkhidmatan terpilih sahaja.

“Dalam hal ini, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) telah melancarkan pemeriksaan khas di bawah Op Kesan bermula 1 Mac lalu, bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya,” tegasnya.

Mesyuarat NACCOL Bilangan 1, 2024 itu, turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta beberapa Menteri dan Timbalan Menteri, selain pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan, wakil industri, badan bukan kerajaan dan ahli akademik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini