comscore
Tumpuan :
Nasional

Ingatkan bunyi kera rupanya bumbung diterbangkan angin kencang – Penduduk

Foto: NSTP

GURUN: Sembilan rumah termasuklah dewan Masjid Al Naim di Kampung Batu Sembilan di sini, terjejas akibat kejadian angin kencang dan hujan lebat kira-kira jam 3 petang semalam.

Seorang penduduk yang terjejas, Suhaimi Abdul Rahman, 62, memaklumkan ketika kejadian dia sedang tidur di dalam rumah.

Pada mulanya dia menyangka bunyi bising di bumbung rumah disebabkan kera yang sering ‘berkunjung’ ke rumahnya.

“Tak sangka pula bunyi bising tu adalah angin kuat, hanya sekelip mata 12 keping atap rumah saya terbang.

“Malam tadi kami terpaksa tidur dalam keadaan rumah basah,” katanya yang bekerja kampung.

Seorang lagi penduduk, Azhar Ali, 48, berkata dia tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa, hanya mampu melihat angin kencang menerbangkan bumbung rumahnya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan peralatan elektrik serta perabot di rumahnya rosak.

“Ketika hujan saya pandang ke langit, nampak sekumpulan bangau seperti tak boleh bergerak ke mana-mana kerana angin kuat, tak sampai seminit, saya dengar bunyi angin kuat datang dan terus terbangkan bumbung rumah saya.

“Sejak kecil saya tinggal di sini, saya tak pernah berdepan dengan kejadian ribut, kejadian semalam membuatkan saya terkejut, barang elektrik seperti peti sejuk, sistem bunyi dan gerudi simen rosak akibat kejadian itu,” katanya yang tinggal di Kampung Batu Lapan, di sini.

Seorang lagi mangsa, Fauziah Hanafi, 65, berkata dia terpaksa melaungkan azan kerana takut melihat deruman angin kencang yang datang serta menerbangkan atap di rumahnya.

Fauziah Hanafi menunjukkan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin kencang di Kampung Batu Lapan semalam. – Foto: NSTP

“Saya hanya tinggal bersama suami Mat Daee, 82, yang sudah uzur, ketika kejadian saya dengar bunyi angin yang sangat kuat sebelum ia mengangkat atap zink pada bahagian bumbung depan rumah.

“Takut memang takut, saya dan suami tidak berani keluar rumah, mujur lah angin kencang itu cepat berlalu selepas saya laungkan azan,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Loading...
Terkini