comscore
Tumpuan :
Nasional

8 rakyat Malaysia terbabit gelora udara telah pulang ke tanah air

FOTO: Reuters

SHANGHAI: Kementerian Luar mengesahkan lapan daripada 16 penumpang rakyat Malaysia penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) telah kembali ke tanah air setakat hari ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, seorang lagi penumpang warga Malaysia yang cedera dalam insiden gelora udara ekstrem itu, dibenar keluar dari hospital dan menunggu proses dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

“Tujuh lagi rakyat Malaysia masing-masing dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan Hospital Samitivej Sukhumvit pula sudah dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan stabil.

“Seorang lagi rakyat Malaysia yang juga kru pesawat SQ321 SIA dan turut terjejas dalam insiden berkenaan akan melakukan penerbangan ke Singapura, hari ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin

“Kementerian melalui Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (MalaWakil) di Bangkok akan terus memantau dan Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel bekerja keras untuk membantu semua mangsa, terutama bagi mempermudah urusan pulang ke tanah air,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pesawat SIA penerbangan SQ321 membawa 211 penumpang dan 18 kru itu dalam penerbangan dari London ke Singapura, mengalami gelora udara ekstrem atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter kira-kira 10 jam sejurus berlepas, 21 Mei lalu.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, pada jam 3.45 petang waktu tempatan.

Seorang penumpang disahkan meninggal dunia manakala ramai tercedera dalam insiden itu.

Sementara itu, Datuk Mohamad berkata, pihaknya belum menerima maklum balas daripada mana-mana penumpang warga Malaysia yang mungkin mahu memfailkan sebarang tindakan perundangan terhadap SIA.

“Tiada perbincangan sedemikian dibuat setakat ini, tetapi terpulang kepada penumpang kerana itu hak mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiada maklum balas diterima mengenai jemaah dari Malaysia diarah meninggalkan Makkah, Arab Saudi susulan tidak memiliki dokumen lengkap atau visa haji.

“MalaWakil di Riyadh dan Jeddah sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan, terutama Lembaga Tabung Haji. Kita bersedia memberi bantuan konsular bagi mempermudah pergerakan jemaah Malaysia, jika berlaku sebarang perkara luar jangka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini