comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Intelligent’ di Malaysia akan teliti pembentangan Brian Nelson – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa di Majlis Peluncuran Kampung Beng sebagai Kampung Angkat Madani KDN di Kampung Beng di Lenggong hari ini. FOTO: NSTP

LENGGONG: Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan perjumpaannya bersama Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson dan delegasinya pada 9 Mei lalu adalah pertemuan yang berterus terang dan berasaskan kepada fakta.

Jelas Saifuddin, dalam perjumpaan itu beliau turut mendengar pembentangan dan penjelasan yang dikemukakan Brian iaitu mengenai dakwaan wujud aliran dana ke Iran dan proksinya, Hamas melalui sistem kewangan Malaysia namun menganggapnya sebagai maklumat sebelah pihak.

Katanya, susulan itu respon balas yang dikemukakan terhadap Brian adalah kerajaan ambil maklum tentang pendedahan maklumat itu untuk hasilnya diteliti menggunakan kekuatan ‘intelligent’ atau perisikan Malaysia sendiri.

“Kita dengar itu sebagai satu maklumat di satu pihak, sebab dia sebut itu berlaku dalam negara kita. Kita pun ada kekuatan ‘intelligent,’ perisikan kita seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN); Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri; kita juga ada ‘intelligent’ polis dan ‘intelligent’ tentera.”

“Jadi sudah tentu respon saya (kepada Brian) adalah saya ambil maklum tentang pendedahan maklumat dia, baik atas nama individu, syarikat, atau pertubuhan; dan adalah munasabah untuk kita teliti dahulu perkara itu dan kita akan tengok hasilnya. Itu yang saya terangkan.”

“Yang paling penting adalah proses pertemuan itu adalah pertemuan yang berterus terang berasaskan kepada fakta. Kita menghargai bahawa negara kita dan AS mempunyai sejarah kerjasama yang cukup panjang segi hubungan diplomatik, hubungan perdagangan dan hubungan ekonomi bahkan dalam berapa perkara berkaitan kerjasama keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Beng, di sini sebagai Kampung Angkat Madani KDN, hari ini.

Saifuddin ditanya sama ada penjelasan yang dikemukakan kepada wakil kerajaan Amerika Syarikat itu  seperti yang dilaporkan media baru-baru ini diterima baik atau sebaliknya.

Mengenai sekatan unilateral atau sebelah pihak berikutan tindakan AS menghalang Iran daripada menjual minyak atau menggunakan sistem kewangan negara Malaysia, Saifuddin berkata pendirian kerajaan yang dinyatakan kepada wakil AS itu adalah Malaysia sebagai sebuah negara merdeka, berdaulat dan mempunyai kedaulatan undang-undang tersendiri.

“Dia (Nelson) bangkitkan soal cadangan mengenakan sekatan. Sudah tentu saya nyatakan pendirian kerajaan bahawa dasar kita sebagai sebuah negara merdeka, berdaulat dan ada kedaulatan undang-undang kita sendiri, maka hanya perintah sekatan yang  dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan diiktiraf di negara kita.”

“Kalau ada mana-mana individu yang berura-ura untuk mengenakan perintah sekatan berpandukan kepada maklumat satu pihak, sudah tentu saya nyatakan dengan baik bahawa polisi kerajaan tidak menerima pakai perintah sekatan seperti itu.”

“Jadi dalam pembentangan itu, dia (Nelson) menyebut beberapa perkara. Dia boleh sahaja menyebut, mengemukakan apa-apa dan menjadi tanggungjawab kita pula untuk memberikan pandangan dan pendirian berhubungan itu,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa AS percaya laut perairan Malaysia dan sekitar rantau Asia Tenggara digunakan sebagai lokasi untuk minyak Iran dijual kepada pembelinya menerusi urusan pemindahan minyak dari kapal ke kapal bagi mengelak sekatan AS ke atas negara teluk itu.

Sekatan itu adalah susulan daripada dakwaan wujud aliran dana ke Iran dan proksinya, Hamas melalui sistem kewangan Malaysia yang dikatakan menerusi pembabitan individu, pertubuhan dan syarikat di Malaysia yang terkait dengan pembiayaan aktiviti keganasan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini