comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu air, elektrik di Sabah dijamin akan selesai – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan kerajaan negeri akan menyelesaikan isu bekalan air dan elektrik yang menjejaskan rakyat Sabah ketika ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata masalah air dan elektrik adalah isu legasi yang sedang diambil tindakan segera oleh kerajaan ketika ini.

“Saya harap rakyat memahami situasi yang dihadapi dan saya menggesa supaya perkara ini tidak dipolitikkan.

“Pagi ini, saya memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Mohd Yaakob Jaafar untuk memberi taklimat mengenai tindakan untuk menangani kekurangan bekalan tenaga yang membebankan ramai rakyat,” katanya.

Mengenai isu bekalan air, Hajiji berkata beliau sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong mengambil tindakan drastik memperbetulkan pengurusannya di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri bukan saja mengambil langkah menyelesaikan bekalan air dan elektrik tetapi juga melaksanakan pelan kontigensi bagi berhadapan situasi berkenaan.

“Kita akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini kerana kita serius dalam usaha menarik pelabur ke Sabah. Kedua-dua keperluan asas ini penting kepada pelabur.

“Kita berjaya menarik pelabur berimpak tinggi untuk menempatkan projek mereka di sini seperti SK Nexilis, Kibing Solar, Linaco dan Esteel dan kita mahu lihat lebih banyak lagi.

“Kerajaan negeri meletakkan pelan tindakan untuk memperbetulkan isu ini dan dengan jaminan Perdana Menteri serta komitmen untuk membantu Sabah, saya yakin akan ada penyelesaiannya,” katanya.

Loading...
Terkini