comscore
Tumpuan :
Nasional

Cabutan bertuah TMM2024 pada 21 April ini tawar 4 buah kereta untuk dimenangi

Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam (atas, dua dari kanan), Ketua Menteri, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh (tingkap kedua) bergambar bersama keluarga pemilik rumah warisan Villa Sentosa, Allahyarham Hashim Demang Abdul Ghani. – FOTO: NSTP

MELAKA: Empat daripada 12 kereta pelbagai jenama yang disediakan untuk cabutan bertuah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan diagihkan pada acara khas pada 21 April ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh berkata kerajaan negeri akan melakukan cabutan nama pengunjung dan pelancong bertuah yang pernah mengunjungi pusat pelancongan di negeri ini selain pembeli produk pelancongan yang terdapat di lokasi tumpuan berkenaan.

Katanya, menerusi kupon penyertaan yang dimasukkan ke dalam peti khas, pengunjung berkenaan berpeluang memenangi hadiah utama berupa kereta selain beberapa lagi hadiah iringan.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam melihat gambaran asal rumah Villa Sentosa, sambil diperhatikan Ketua Menteri, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh (dua kanan). – FOTO: NSTP

“Ini cabutan pertama sejak penganjuran TMM2024 ini dan kita menyediakan setiap bulan sebuah kereta dengan cabutan mega akan diadadakan pada 21 April ini untuk memilih empat pemenang pertama hadiah utama berkenaan.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-100 Villa Sentosa yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Kampung Morten, di sini hari ini.

Tambah Abd Rauf, cabutan berikutnya akan dibuat setiap tiga bulan sekali.

Abd Rauf mengakui beliau turut teruja apabila negeri itu berjaya merekodkan kedatangan seramai 3.7 juta pelancong untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini sempena TMM2024.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, kira-kira 70,000 kenderaan sehari dicatatkan memasuki negeri itu pada setiap hujung minggu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung dalam tempoh tiga bulan itu.

Justeru, beliau yakin sasaran untuk menarik seramai 18.7 juta pelancong dan pengunjung ke Melaka sempena TMM2024 akan tercapai.

Sementara itu, beliau berharap supaya masyarakat dapat mengembleng tenaga memelihara khazanah budaya di negeri ini untuk memastikan sejarah ketamadunan budaya dapat disampaikan kepada generasi akan datang.

Secara tidak langsung, ia dapat menjadi salah satu sebab pelancong datang ke Melaka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini