comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu kekurangan kerusi, meja selesai sebelum sesi persekolahan

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi Negeri, Datuk Rais Yasin. – FOTO: NSTP

MELAKA: Isu kekurangan kerusi dan meja yang berlaku di beberapa sekolah di negeri ini dijangka akan diselesaikan sebelum sesi persekolahan 2023/2024 bermula pada minggu hadapan.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi Negeri, Datuk Rais Yasin berkata, susulan maklumat diterima berhubung perkara itu, pihaknya sudah mengambil maklum bagi tindakan penyelesaian boleh dilakukan.

“Saya ada terima dua, tiga isu kali ini mungkin boleh dikatakan kekurangan meja dan kerusi itu sendiri termasuklah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput.

“Jadi pihak pengetua sudah maklum kepada saya dan kita akan bantu sedaya upaya bagaimana untuk selesaikan isu-isu yang hendak dikatakan terpencil tetapi ada berlaku di Melaka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sumbangan Kembali Ke Sekolah 2023 Anjuran JPKK Cheng Perdana, di Taman Bertam Jaya, hari ini.

Menurut Rais, berhubung isu kepadatan kelas yang dihadapi sesetengah sekolah pula, pemantauan akan dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Untuk kes berkaitan kelas padat, saya minta kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui pihak JPN untuk kita terus pantau.

“Selain itu, saya juga berharap agar ibu bapa dapat memberi kerjasama dan saling faham sekiranya ada anak mereka tidak dapat diterima di sekolah kawasan tempat tinggal mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, berhubung rungutan ibu bapa susulan kenaikan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi mendapatkan kepastian kenapa berlaku peningkatan kadar bayaran itu sejurus selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu hadapan.

“Bila isu ini ditimbulkan saya selaku Exco Pendidikan memang bertanggungjawab jadi saya kena dapat tahu dahulu (punca kenaikan) dan dalam masa sama untuk berlaku adil kepada semua pihak bila sudah dapat maklumat baru saya boleh (sarankan),” katanya.

Loading...
Terkini