comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bumbung SMK Munshi Abdullah ranap diterbang ribut

 

MELAKA: Bumbung tujuh blok bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam rosak teruk dalam kejadian ribut, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang.

FOTO: NSTP

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata Blok C menempatkan bangunan pentadbiran dan kelas Tingkatan 3 dan 4 paling terjejas teruk.

“Menerusi lawatan saya tadi, selain struktur bumbung tercabut dan diterbangkan angin, saya difahamkan sistem pendawaian juga rosak, jadi blok berkenaan ditutup sepenuhnya sehingga dibaik pulih.

FOTO: NSTP

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan penilaian mengenai kerosakan yang berlaku dan kos untuk pembaikan,” katanya dihubungi, di sini.

Rahmad berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka juga sudah membuat permohonan bantuan bencana segera kepada Kementerian Pendidikan bagi membaiki kerosakan.

Kerja-kerja pembaikan dijangka mengambil masa dua bulan.

Berikutan itu, pihak sekolah akan mengadakan kelas sesi pagi dan petang bagi pelajar yang terjejas.

FOTO: NSTP

Terdahulu, beliau bersama-sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Kerk Chee Yee merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin melawat sekolah terbabit.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Sany Sahari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4 petang.

Sepasukan enam pegawai dan anggota serta sebuah jentera yang ke lokasi mendapati bumbung sekolah tercabut akibat ribut.

“Selepas mendapati tiada bahaya atau risiko lain pihak bomba menutup memasang pita kuning di kawasan terbabit dan operasi selesai sepenuhnya jam, 4.47 petang tadi,” katanya dalam kenyataan di sini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini