comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu Menara Kuala Lumpur: SPRM ‘berkunjung’ beberapa lokasi cari dokumen

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes penjualan saham syarikat konsesi Menara Kuala Lumpur membawa kepada ‘kunjungan’ pegawai penguat kuasa itu ke beberapa lokasi bagi mendapatkan dokumen membantu siasatan.

Operasi itu dilakukan sejak semalam membabitkan beberapa lokasi termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan anak syarikat Telekom Malaysia (TM).

Pegawai SPRM juga sudah mula menemubual pegawai berkaitan bagi mengesan elemen rasuah yang dikaitkan dengan pengurusan menara itu.

Semalam, SPRM mengesahkan sudah memanggil tiga orang saksi dan mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti.

SPRM berkata, mereka kini memfokuskan elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham milik anak syarikat TM iaitu Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022.

SPRM menyiasat dakwaan selepas mendapati terdapat kecurigaan dalam pemindahan hak milik pengurusan bangunan ikonik itu.

“Setakat ini, SPRM sudah memanggil tiga orang saksi dan mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti.”

SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Difahamkan, ketika ini siasatan berkenaan adalah masih berada dalam di peringkat pembukaan kertas siasatan lagi dan tindakan selanjutnya oleh SPRM akan menyusul selepas ini.

TM dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa Menara KL dimiliki oleh kerajaan manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu diberikan di bawah satu konsesi.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, MKLSB melaksanakan konsesi terbabit sejak 1996.

TM juga berkata, sebagai sebahagian daripada program transformasinya, ia menumpukan usaha dan sumber untuk mengukuhkan perniagaan teras iaitu telekomunikasi serta teknologi.

Isu pengambilalihan pengurusan menara itu tular apabila ramai mempersoalkan keputusan TM melalui anak syarikatnya MKLSB, memindahkan pemilikan penuh MKLSB kepada oleh syarikat Hydroshoppe pada Oktober lalu sedangkan perniagaan itu mencatat keuntungan.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau memandang serius isu yang dibangkitkan di media sosial dan akan meneliti isu pengambilalihan pengurusan Menara KL daripada TM oleh syarikat Hydroshoppe.

Beliau turut mengesahkan, sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada kementerian pada 14 Disember lalu dan akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara ini daripada TM pada 3 Januari ini.

Loading...
Terkini