comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu pembinaan LRA mini di Kelantan dianggap selesai

KOTA BHARU: Isu pembinaan lima loji rawatan air (LRA) mini yang dibina tanpa mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di negeri ini dianggap selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, isu itu selesai kerana kerajaan negeri sudah menjawab semua isu berkaitan pembinaan loji itu.

Katanya, pembinaan membabitkan lima LRA mini iaitu di Ketereh di sini; Teluk Mesira, Bachok; Perol, Peringat; Wakaf Bharu, Tumpat serta Meranti Baru, Pasir Mas dan menggunakan peruntukan daripada kerajaan negeri.

Ia berlaku apabila kerajaan negeri mendapat peruntukan RM400 juta lalu membuat keputusan membina LRA mini itu dengan sejumlah RM70 juta untuk menyelesaikan masalah air.

“Pada peringkat awal dulu kita tidak tahu bahawa sebarang pembinaan dan membaik pulih perlu mendapat kelulusan mengikut Seksyen 45 Akta SPAN.

Kita ingat apabila guna peruntukan sendiri, kita tidak perlu lapor kepada SPAN. Alhamdulillah ia sudah selesai dan tidak ada isu lagi,” katanya.

Terdahulu, beliau membuat lawatan di tapak pembinaan penggantian paip di Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Dr. Nazmi Ghazali Azmi.

Mengulas lanjut Datuk Azami berkata dengan siapnya LRA mini itu ia memberi manfaat kepada rakyat Kelantan iaitu bagi LRA Mini wakaf Bharu dapat membekalkan air kepada 12,000 akaun dan Ketereh pula 5,000 akaun.

Media sebelum ini melaporkan integriti kerajaan negeri Kelantan dan AKSB dipersoalkan susulan penyebaran beberapa surat rayuan kelulusan projek sudah dilaksanakan kontraktor pakar yang dilantik secara rundingan terus bagi pembinaan tiga LRA, di negeri ini tahun lalu.

Penyebaran enam keping surat berkaitan pembinaan LRA mini di Ketereh, Meranti Baru dan Teluk Mesira itu dimuat naik Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Kelantan (AMK), Mohd Afiq Asyraf Mohd Nazi menerusi akaun Facebooknya.

Dalam hantarannya itu, Mohd Afiq mempersoal arahan kelulusan yang dibuat bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan permohonan kelulusan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Loading...
Terkini