comscore
Tumpuan :
Nasional

Masalah kewangan, pengurusan kontraktor punca projek jambatan terbengkalai 5 tahun

Penduduk terdedah kepada bahaya kerana terpaksa menggunakan jambatan yang sempit dan uzur.

JOHOR BAHRU: Kerja pembinaan jambatan baru yang terbengkalai menyebabkan penduduk dan pengguna Jalan Kempas Lama di sini terdedah kepada bahaya setiap hari apabila terpaksa menggunakan jambatan lama yang sudah berusia kira-kira 50 tahun.

Kerja pembinaan jambatan baru yang menjadi sebahagian daripada projek naik taraf Jalan Kempas Lama dimulakan pada 2018 masih tertangguh sedangkan ia dijadualkan siap Februari 2020.

Seorang penduduk, Zaini Kasirin, 48, berkata jambatan itu nyaris meragut nyawa beberapa pengguna jalan raya sebelum ini apabila kenderaan termasuk lori dan motosikal terjunam ke sungai.

Menurutnya, kejadian berpunca daripada keadaan jambatan berkenaan yang tiada ciri-ciri keselamatan termasuk sempit dan tidak berpagar serta ketiadaan pencahayaan pada waktu malam.

“Selain berbahaya, jambatan sempit itu juga mengundang kesesakan. Selalunya jika mahu balik ke rumah saya ambil masa 20 minit, tetapi apabila saya lalu jalan ini terutamanya pada waktu puncak atau waktu petang bermula jam 5 petang akan ambil masa satu jam walaupun hanya tiga kilometer untuk masuk ke kampung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Maju Jaya, Roslan Hassan, 54, berkata, lencongan sementara yang sempit, selain keadaan yang gelap pada waktu malam akibat tiada lampu jalan juga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

“Laluan terbabit digunakan orang ramai untuk ke tempat kerja kerana ia berhampiran dengan kawasan perindustrian dan beberapa sekolah di sekitar Jalan Kempas Lama menghala ke Seelong, Senai.

“Diharap pihak berkaitan mengambil langkah sesuai bagi mengatasi punca kelewatan projek ini,” katanya.

​​​​​​​Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek berkenaan membabitkan kerja menaik taraf jalan kepada empat lorong sejauh 2.2 kilometer kini 88 peratus siap.

Menurutnya, projek yang turut membabitkan pembinaan jambatan merentasi Sungai Tebrau itu tergendala berikutan khidmat kontraktor asal terpaksa ditamatkan.

“Ia berpunca isu kelemahan pengurusan dan kewangan pihak kontraktor. Tender semula projek itu dijangka bermula November depan bagi melantik kontraktor baharu.

“Kontraktor baharu akan menyiapkan projek yang berbaki membabitkan kerja elektrikal, perparitan dan struktur jambatan,” katanya.

Loading...
Terkini