comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu seleweng dana RM10 juta punca SPRM cari menantu Muhyiddin, peguam 

KUALA LUMPUR: Dua individu termasuk Muhammad Adlan Berhan iaitu menantu kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian, dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM10 juta.

Penyelewengan dana itu dipercayai membabitkan kutipan caj Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dibayar kerajaan kepada sebuah syarikat.

Menurut sumber SPRM, dana dianggarkan bernilai RM10 juta itu sepatutnya dibayar kepada pemegang sukuk namun ia dikatakan diseleweng beberapa individu untuk kepentingan diri.

“Siasatan mendapati pihak syarikat secara diam menukar akaun bank untuk penerimaan bayaran. Akaun asal dikawal oleh pemegang sukuk dan suspek tidak boleh mengeluarkan wang tanpa persetujuan pemegang sukuk.

“Selepas menukar akaun bank, kedua-dua suspek dikatakan dapat mengeluarkan wang sesuka hati. Di sinilah kesalahan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes itu membabitkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan siasatan mendapati kesalahan dilakukan pada Ogos hingga September tahun lalu.

Pada masa sama, menurut sumber SPRM, tiada aset dirampas kerana semua wang yang diseleweng dipercayai sudah dibelanjakan.

Kelmarin, SPRM mengeluarkan kenyataan sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Melalui kenyataan itu, SPRM memaklumkan pihaknya cuba menghubungi dua lelaki terbabit secara terus dan menerusi peguam, namun kedua-duanya enggan memberi kerjasama.

Semakan rekod mendapati kedua-dua individu itu meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu dan tiada rekod kembali ke negara ini.

Muhammad Adlan, 48, mempunyai alamat terakhir di Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Manakala, individu kedua yang dikesan adalah peguam, Mansoor Saat, 69, beralamat terakhir di Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai kedua-dua individu terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Nur Muhammad Amin Jamaluddin menerusi telefon 603-8870 0799 atau 016-4322 699 atau emel kepada [email protected].

Loading...
Terkini