comscore
Tumpuan :
Nasional

Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama sambut baik cadangan tubuh Maktab Perguruan Tahfiz

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar.

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik cadangan Presiden Persatuan Tahfiz Al-Quran (PINTA) untuk menubuhkan Maktab Perguruan Tahfiz.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar dalam kenyataan berkata cadangan itu adalah salah satu kaedah untuk memperkukuhkan sistem pendidikan tahfiz di negara ini.

“Buat masa ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telak melaksanakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri termasuk persatuan tahfiz.

“Pada masa yang sama untuk memperkasa kemahiran pengurusan, pembelajaran dan pengajaran dalam kalangan guru tahfiz dan pengurusan tahfiz, JAKIM dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Aminuddin Baki telah melaksanakan program latihan kepada pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Nai’m seterusnya berkata JAKIM telah mewujudkan sistem pengiktirafan kepada institusi tahfiz dengan melaksanakan Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK).

“Demi memperkukuh agenda memperkasa pendidikan tahfiz serta menjamin masa depan para huffaz, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah melaksanakan sesi libat urus bagi menilai cadangan penubuhan Universiti Al-Quran Malaysia dengan pihak berkepentingan.”

Cadangan penubuhan Universiti Al-Quran Malaysia adalah sebahagian manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yakin bahawa semua inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan akan dapat memperkukuhkan usaha pembangunan Al-Quran secara menyeluruh seterusnya mengisi makna pembinaan Malaysia Madani,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini