comscore
Tumpuan :
Nasional

Jaga adab, elak perkataan ‘Unparliamentary’ – Speaker Dewan Negara 

Foto fail Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara diingatkan supaya sentiasa menjaga adab dan mengelakkan menggunakan perkataan tidak sesuai dan ‘unparliamentary’ ketika mengambil bahagian membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) pada persidangan Dewan Negara, yang bermula hari ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ahli mesyuarat juga perlu mengelak daripada membangkitkan soal peribadi seseorang menteri atau ahli-ahli kerajaan yang lain sekiranya tidak bersetuju dengan penjelasan yang diberikan.

“Dengan peranan semak dan imbang yang dipikul, Ahli Dewan Negara perlu mengelakkan daripada mengguna perkataan tidak sesuai dan ‘unparliamentary’ sebaliknya memberi komen yang konstruktif.

“Kalau tidak bersetuju dengan apa menteri cakap, tiada halangan untuk (beri pandangan dan cadangan) cuma bukan bangkitkan soal peribadi menteri dan ahli-ahli kerajaan. Ini perkara dasar berkait kepentingan negara dan rakyat. Saya harap semua beri kerjasama kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum perbahasan KSP RMK12, yang dimulakan sejurus selepas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli selesai membentangkan usul KSP RMK12 di Dewan Negara, hari ini.

Wan Junaidi berkata, beliau tidak mahu situasi tegang sebagaimana yang berlaku di Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan KSP RMK12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, berulang di Dewan Negara.

Sementara itu, Wan Junaidi memaklumkan Ahli Dewan Negara dibenarkan menghadiri sidang Dewan Negara tanpa bertali leher sebagaimana amalan di Dewan Rakyat ketika ini.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan dengan Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah.

“Walaupun rasa payah sedikit kerana saya ini konservatif, tetapi kena akur dengan amalan yang dibuat di Dewan Rakyat, jadi kita bersetuju dengan apa yang dibuat di Dewan Rakyat terpakai di Dewan Negara,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Sesi Khas Dewan Negara yang bermula hari ini akan berlangsung selama empat hari sehingga 26 September.– BERNAMA

Loading...
Terkini