comscore
Tumpuan :
Artikel

Jaga batas aurat dan pergaulan ketika Aidilfitri

Foto hiasan

Oleh Nur Faezah Musthapar

Kedatangan Aidilfitri di Malaysia sentiasa disambut meriah, menandakan kemenangan umat Islam kerana telah menyempurnakan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Sudah pastinya, masyarakat akan pulang berhari raya bersama keluarga dan sanak saudara.

Dalam berkumpul beramai-ramai bersama ahli keluarga dalam satu rumah, satu perkara yang sering diabaikan malah dianggap biasa dan remeh oleh masyarakat ialah aurat dalam kalangan ipar-duai.

Situasinya, ahli keluarga dan ipar duai masing-masing tidak menutup aurat, ada adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah sama ada sengaja ataupun tidak sengaja, berjabat tangan antara ipar duai, bersentuhan badan seperti pelukan, berlaga pipi dan sebagainya.

Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita bermudah-mudah dalam hal ini. Soal aurat dengan ipar duai tidak boleh dipandang mudah kerana ia merupakan dosa yang mudah terpalit sekiranya tidak dijaga.

Perlu diketahui bahawa status antara ipar duai adalah mahram yang bersifat sementara atau haram untuk bernikah dengan ipar duai dalam tempoh waktu tertentu. Sebab itu, perlu sentiasa memelihara batasan aurat dan adab pergaulan ketika berinteraksi antara satu sama lain.

Hubungan antara ipar duai hakikatnya bukan seperti hubungan antara mahram yang lain. Hukum-hakam mahram sementara ini tidak sama dengan hukum-hakam mahram yang kekal selama-lamanya iaitu dari aspek aurat. Auratnya sama seperti ajnabi (bukan
mahram) iaitu wajib ditutup.

Dalam rumah, paling perlu dititikberatkan ialah pemakaian tudung dan baju berlengan panjang. Masyarakat kita ada yang hanya mengenakan tuala mandi untuk menutupi rambut, ada juga yang memakai baju berlengan pendek dan berseluar ketat.

Begitu juga bersentuhan untuk bersalam dengan ipar duai di hari raya. Sekiranya ipar duai ingin bersalam, tolak dengan cara baik dan tidak perlu malu untuk menolaknya hanya semata-mata untuk menjaga air mukanya. Jangan biasakan perbuatan yang jelas
berdosa. Juga perlu menjaga pandangan mata di dalam rumah kerana banyak aurat yang perlu dijaga apabila berkumpul semua ahli keluarga. Juga tidak dibenarkan untuk bersekedudukan atau berdua-duaan di dalam rumah antara ipar duai tanpa ditemani mahram yang lain.

Rasulullah SAW telah memberi amaran melibatkan ipar duai; “Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita lalu seorang lelaki Ansar berkata: Wahai Rasulullah SAW, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda bersabda: Ipar adalah maut.”
(Riwayat al-Bukhari (5232) Riwayat al-Muslim (2172).

Maksud maut dalam hadis tersebut ialah perlunya berhati-hati ketika berinteraksi kerana ipar bukanlah berstatus mahram selamanya. Berhati-hati bukanlah bermaksud langsung tidak boleh mempercayai tetapi dalam apa juga perkara perlu ada batasnya kerana ia membabitkan soal peribadi suami isteri. Larangan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga daripada timbulnya sebarang keburukan yang besar pada masa akan datang.

Menurut Imam Nawawi, ipar adalah maut kerana kebimbangan darinya lebih banyak daripada selainnya, keburukan boleh terjadi darinya dan fitnah lebih banyak. Al-Qurtubi juga menjelaskan “Jika seorang lelaki berduaan dengan isteri saudaranya maka hal itu
dapat menyebabkan ‘kematian’ agama bagi isteri saudaranya, boleh jadi dia diceraikan suaminya dan hukumannya sangat berat iaitu direjam sekiranya berzina.”

Pergaulan mesra antara ipar duai yang tidak dibatasi dengan syariat Islam boleh mencetuskan pelbagai syak wasangka. Kesannya, berlaku banyak salah faham dan pergaduhan yang boleh merenggangkan hubungan antara adik beradik, juga hubungan
antara suami dan isteri. Lebih buruk lagi, sekiranya hal ini tidak diatasi segera, boleh menyebabkan keruntuhan institusi keluarga.

Walau bagaimanapun, menjaga hubungan baik dengan ipar sangat penting kerana mereka juga adalah sebahagian daripada keluarga besar kita. Namun syariat Islam mesti diutamakan dan jangan dilupakan.

Apakah makna hari raya yang dikatakan kemenangan umat Islam sekiranya kita menyambutnya dengan melanggari syariat. Semoga kita dapat mencapai takwa Ramadhan, melalui cara menitikberatkan aurat antara ipar duai.

Semoga dengan usaha ini, kita berterusan mendapat rahmat dari Allah SWT. Jangan jadikan hari raya sebagai hari yang seronok dan bergaya sahaja tetapi tidak menepati syariat. Syariat Islam datang tidak lain hanya bertujuan untuk membawa kebaikan kepada masyarakat. Ia bukan untuk menyusahkan dan membebankan kita.

……

Nur Faezah

Penulis merupakan penyelidik di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di [email protected]

Loading...
Terkini