comscore
Tumpuan :
Nasional

JAINJ lengkapkan siasatan kasut tumit tinggi tertera kalimah Allah

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid.

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden kasut tumit tinggi wanita yang didakwa mempunyai kalimah mirip ejaan Allah dalam tulisan jawi di bahagian tapaknya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“JAIJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan dan telah diserahkan kepada pihak Peguam Negara.”

“Saya tidak dimaklumkan sama ada terdapat siasatan lanjut dibuat berhubung kes berkenaan atau sebaliknya.”

“Tetapi saya yakin penguatkuasa agama negeri ini dan juga polis telah jalankan tugas mereka sebaiknya. Selebihnya kita serah budi bicara Peguam Negara untuk buat tindakan susulan termasuk sama ada perlu mendakwa mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.

Pada 7 April lalu, sejumlah kasut yang menggunakan logo menyerupai kalimah Allah pada tapak kasut wanita, dirampas dalam serbuan bersepadu di beberapa pusat beli-belah di negeri ini.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata satu laporan polis dibuat di Pulau Pinang berhubung tulisan menyerupai kalimah Allah pada tapak kasut wanita yang dikesan tular dalam laman sosial Facebook.

Terdahulu, pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya yang pada pandangan mereka disalah tafsir hingga menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fared memaklumkan seramai 3,500 rakyat negeri ini akan melakukan ibadah haji pada tahun ini.

“Jumlah itu adalah kuota yang diberikan kepada negeri Johor tahun ini. Daripada jumlah itu, seramai 500 jemaah pula berada di bawah pengurusan dan program kerajaan negeri.”

“Tarikh pelepasan paling awal adalah pada 18 Mei ini dan saya juga difahamkan semua bakal jemaah berada dalam keadaan sihat dan baik, semoga mereka semua beroleh haji mabrur,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini