comscore
Tumpuan :
Nasional

JAKIM, kerajaan Maghribi nafi kenyataan mengenai Mawla Amin

Mawla Amin atau nama sebenarnya Muhammad Amin Ouradji atau Muhammad Amin al-Idrisi. – Foto fail

RABAT: Kerajaan Maghribi mengesahkan Mawla Amin atau nama sebenarnya Muhammad Amin Ouradji atau di kalangan sesetengah pengikutnya dikenali sebagai Muhammad Amin al-Idrisi bukan warga negara itu.

Menurut Kementerian Luar Maghribi dan kemudian dipetik oleh agensi berita AGENSI; Muhammad Amin juga tidak mempunyai hubungan dengan Sharif Idrissi di Maghribi atau mana-mana keturunan Nabi Muhammad di negara itu.

Katanya, pihak berkuasa agama Maghribi juga sama sekali tidak menyokong aktiviti keagamaan atau ajaran dibawa oleh Muhammad Amin.

Mengikut laporan media, lelaki warga Perancis-Algeria itu sebelum ini mendakwa dirinya sebagai rakyat Maghribi dan berasal daripada keturunan Nabi Muhammad.

Sebaliknya menurut Kementerian Luar Maghribi, Muhammad Amin dilahirkan di Algiers, Algeria pada 1984 sebelum berhijrah ke Perancis bersama keluarganya.

Sebelum ini, Muhammad Amin juga pernah berada di Malaysia pada 2022 di bawah naungan sebuah madrasah namun kehadirannya dikritik ekoran dakwaan mengenai ‘keturunannya’ yang meragukan.

Awal hari ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan menerima bukti berdokumen nasab Muhammad Amin yang didakwa mempunyai susur galur keturunan Nabi Muhammad.

“Susulan kenyataan oleh pihak Nur Al Mustafa Malaysia dalam sidang media yang diadakan berhubung nasab ‘Mawla Amin’ yang memaklumkan bahawa pihak mereka telah mengemukakan bukti dokumen berkaitan kepada pihak JAKIM, dimaklumkan bahawa JAKIM tidak menerima sebarang dokumen sebagaimana yang dinyatakan,” kata agensi itu menerusi laman Facebook.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini