comscore
Tumpuan :
Nasional

Jambatan baharu Kampung Enggor dijangka siap 15 hingga 24 bulan

Mohamad Nizar meninjau lokasi Jambatan Enggor yang runtuh akibat rebakan tanah di Karai, Sungai Siput semalam.

SUNGAI SIPUT: Jambatan baharu dengan saiz lebih lebar dan memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa bakal dibina bagi menggantikan Jambatan Sungai Enggor di Kampung Enggor, Karai dekat sini yang runtuh akibat rebakan tanah kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata pembinaan jambatan baharu itu dijangka mengambil masa antara 15 hingga 24 bulan.

Katanya, pihaknya melihat tiada keperluan bagi membina Jambatan Bailey atau jambatan sementara di laluan berkenaan kerana kos agak tinggi, selain ada laluan alternatif boleh digunakan penduduk.

Mohammad Nizar berkata, kos pembinaan jambatan baharu itu akan diketahui dan akan diperincikan dalam masa terdekat kerana projek itu turut merangkumi kerja-kerja mengukuhkan kawasan benteng SungaiEnggor dekat dengan jambatan itu.

“Saya difahamkan terdapat laluan alternatif iaitu dari Salak untuk menuju ke Karai dengan jarak sejauh 5 kilometer (km). Memandangkan jalan perhubungan tidak terputus sepenuhnya, kita minta kerjasama pengguna jalan raya dan penduduk ‘berkorban’ sedikit, sementara laluan ini masih ditutup.

“Jambatan baharu dibina akan memenuhi piawaian antarabangsa, justeru pembinaannya mengambil sedikit masa. Struktur dan reka bentuknya juga perlu diperbaharui.

“Bagaimanapun, aspek keselamatan menjadi keutamaan lebih-lebih lagi sungai ini agak dalam dan jaraknya dengan muara yang bertemu dengan Sungai Perak kurang daripada 1km,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau tempat kejadian, semalam.

Terdahulu, media melaporkan, kira-kira 5,000 penduduk sekitar kawasan Kampung Enggor terjejas aktiviti harian selepas jambatan sepanjang 13 meter yang menghubungkan mereka dengan kawasan berhampiran runtuh kira-kira jam 11.40 malam kelmarin susulan hujan lebat.

Loading...
Terkini