comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Tadah satu baldi pun punyalah lama’

GUA MUSANG: Penduduk di Taman Agropolitan Rantau Manis di sini terpaksa bersengkang mata menunggu bekalan air pulih.

Dakwa penduduk situasi itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu dan sehingga kini tiada jalan penyelesaian diambil pihak berkuasa walaupun sering membuat aduan.

Pencuci kawasan ladang Wan Azahar Wan Abdullah, 33, berkata penduduk terpaksa berjaga pada tengah malam semata-mata untuk mendapatkan air bersih kerana hanya pada waktu itu sehingga subuh tekanan air di kediaman mereka mulai kuat dan pulih daripada gangguan bekalan.

“Kami pernah terputus bekalan air pada waktu pagi sehingga malam dan jika ada pun tekanan air sangat rendah sehinggakan untuk menadah air di dalam baldi mengambil masa yang sangat lama,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Suri rumah Siti Norzalila Shari, 37, berkata selain komited membayar bil air secara bulanan, dia juga perlu menanggung kos menyediakan satu tangki khas di luar rumah berserta baldi dan besen pelbagai saiz untuk tadahan dan penyimpanan air bersih.

“Di sini terdapat lebih 500 rumah dan bergantung kepada satu tangki air sahaja. Jadi, sebab itu saya terpaksa menambah satu lagi tangki yang diletakkan di luar rumah berdekatan dengan paip.

Berkemungkinan air di sini dicatu tetapi kami tidak tahu kenapa ia dicatu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim berkata beliau mengambil maklum mengenai aduan penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

“Saya akan mengusulkan masalah gangguan bekalan air ini pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu hadapan bersama masalah bekalan air di Taman Tropika Gua Musang.

“Saya berharap agar pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil perhatian sebab sepatutnya isu bekalan air di Gua Musang tidak perlu disamakan dengan daerah hilir,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini