comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan buat pembelian panik telur papan – KPDNHEP KL

Tinjauan di Jalan Raja Hussein, Kuala Lumpur berikutan bekalan telur papan yang berkurangan.

KUALA LUMPUR: Pembelian panik terhadap telur papan menyebabkan masalah kekurangan bekalan mentah itu semakin serius di ibu kota ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, pihaknya tidak menafikan berlaku kekurangan bekalan telur di ibu kota ketika ini.

“Kita menjalankan pemantauan dan pemeriksaan berkala setiap hari dengan kekuatan 90 pegawai penguat kuasa serta 83 pegawai pemantau harga KPDNHEP Kuala Lumpur membabitkan pemborong, pembekal utama, pasar awam, pasar raya dan kedai runcit.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati memang berlaku kekurangan bekalan telur papan terutama pada sebelah petang kerana dipercayai ada pihak yang membuat pembelian panik.

“Malah, ada pasar raya yang mengambil pendekatan mengehadkan pembelian telur papan bagi setiap pelanggan meskipun tiada arahan dikeluarkan pihak KPDNHEP untuk berbuat demikian kerana berlaku pembelian panik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memantau bekalan telur papan di sebuah pasar raya di Setiawangsa, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, meskipun berlaku kekurangan bekalan telur di ibu negara, namun tiada aduan rasmi diterima pihaknya berhubung kejadian itu.

“Di Kuala Lumpur, kita tiada pembekal telur seperti negeri lain. Susulan itu, kita bercadang untuk memohon bantuan daripada Ibu Pejabat KPDNHEP bagi menyalurkan bekalan daripada pembekal dari negeri lain untuk mengatasi masalah ini.

“Justeru itu, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik bagi mengelakkan masalah kekurangan bekalan ini menjadi semakin serius,” katanya.

Mengulas mengenai bekalan telur yang disorok sehingga busuk, beliau berkata, isu itu tidak timbul memandangkan bahan mentah berkenaan mempunyai tarikh luput.

“Telur adalah bahan yang ada tarikh luput yang singkat iaitu paling lama kira-kira sebulan. Mana mungkin ada pembekal mahu menyorok bekalan itu hingga ia busuk kerana ia pasti merugikan.

“Malah, kami sendiri (KPDNHEP Kuala Lumpur) tidak ada menerima aduan daripada pengguna mengenai telur busuk sehingga kini,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berhubung perkara itu supaya menghubungi pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

Loading...
Terkini