comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan telur di Sarawak mencukupi tampung permintaan Aidilfitri

KUCHING: Bekalan telur ayam dijangka mencukupi di Sarawak bagi menampung permintaan sepanjang bulan Ramadan sehingga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ini kerana jumlah penghasilan telur ayam di negeri berkenaan masih berupaya menampung jumlah permintaan pengguna sepanjang tempoh berkenaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, selain telur, bekalan makanan lain seperti daging dan ayam juga mencukupi di seluruh negeri itu.

Bagaimanapun, pemantauan berterusan sentiasa dilakukan oleh pegawai penguatkuasa KPDN bagi memastikan semua keperluan asas tidak berdepan masalah kekurangan bekalan sepanjang musim perayaan ini.

“Setakat ini kita tidak menghadapi masalah bekalan telur di Sarawak dan kalau ada pengguna boleh ajukan aduan mengenai perkara itu kepada kami.

“Bagaimanapun, kita di KPDN Sarawak sentiasa akan turun padang setiap hari, tujuh hari seminggu dan melakukan pemantauan di semua pusat-pusat perniagaan di Sarawak ini,” katannya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Bazaar Ramadan Satok di sini.

Menurut Matthew, sejak 23 Mac lalu, sejumlah 3,017 premis telah diperiksa sepanjang perlaksanaan Ops Pantau 2023 yang dilakukan oleh kementerian berkenaan melibatkan 189 Pegawai Penguatkuasa dan 99 Pegawai Pemantau Harga di seluruh negeri.

Manakala sejak 1 Januari hingga hari ini (4 April), sejumlah 29,966 pemeriksaan dilakukan ke atas pengilang, pemborong, pasar basah dan pasaraya dilakukan di seluruh Sarawak.

“Sepanjang tempoh terbabit , sebanyak 477 kes berjaya dihasilkan melibatkan rampasan bernilai lebih RM6.2 juta serta kompaun bernilai RM334,388,” katanya.

Loading...
Terkini