comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

Jangan jadikan isu Palestin-Israel alat pecah belah rakyat – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak mempolitikkan konflik Palestin-Israel dan mengizinkan isu itu dijadikan alat untuk memecahbelahkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Anwar menegaskan rakyat sepatutnya melihat konflik itu dari segi sejarah dan isu kemanusiaan membabitkan penduduk Palestin yang inginkan kemerdekaan daripada penjajahan Israel.

“Saya juga ambil kesempatan untuk menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk melihat ini dari segi kaedah sejarah dan kemanusiaan serta jangan jadikan isu ini yang membedakan sikap kita tentang apa itu kemerdekaan.

“Saya gesa rakan-rakan kerana ada suara yang anggap kita keras dan bertentangan dengan sikap berkecuali tetapi ya Malaysia mendokong prinsip berkecuali tetapi tidak berkecuali dalam soal kezaliman, tidak berkecuali bila ribuan anak-anak dibunuh dan dibom, tidak berkecuali dalam soal keadilan dan kemanusiaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu perkembangan lawatan kerja Perdana Menteri ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir berhubung dengan serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini