comscore
Tumpuan :
Nasional

JAS siasat pelupusan haram di Seliau, laporan polis turut dibuat

Foto hiasan

PORT DICKSON: Aktiviti pelupusan haram disyaki buangan terjadual di Seliau, di sini dalam siasatan pihak berkuasa susulan aduan mengenainya dibuat 3 November lalu.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan. berkata susulan aduan itu, pada 5 November lalu, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan pegawai dari Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Port Dickson terus menjalankan siasatan di kawasan kejadian.

Katanya, JAS sudah memasang pita penghalang di kawasan kejadian untuk menghalang sebarang pergerakan keluar masuk kenderaan atau bahan bagi tujuan siasatan.

“Satu laporan polis turut dibuat pada jam 12.45 tengah hari semalam di Balai Polis Lukut untuk tujuan pemberitahuan dan pemantauan polis.

“Notis Arahan juga sudah dikeluarkan kepada pemilik tanah supaya menghentikan sebarang kemasukan atau pengeluaran apa-apa bahan ke kawasan kejadian (Lot 4290) yang sudah dipasang pita penghalang,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Veerapan berkata, pihak PDT Port Dickson turut bekerjasama untuk membuat carian tidak rasmi pemilik tanah bagi mencari pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, satu surat kepada JUPEM akan dikeluarkan bagi mendapatkan pengesahan lokasi kawasan kejadian untuk tujuan pendakwaan.

“Pada 6 November lalu, jam 10,30 pagi, pemilik tanah sudah datang dan rakaman percakapan turut dilakukan manakala pada jam 2 petang semalam, satu rakaman percakapan terhadap penyewa tanah juga sudah dibuat,” katanya.

Beliau berkata, Field Citation (FC) sudah dikeluarkan kepada penyewa tanah supaya tidak membenarkan sebarang kemasukan atau pengeluaran bahan ke dalam kawasan kejadian yang sudah dipasang pita penghadang.

Katanya, semalam, pasukan penyiasat menghantar botol sampel ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi memastikan sama ada bahan yang dilupuskan itu Buangan Terjadual atau bukan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini