comscore
Tumpuan :
Nasional

Jelajah Cuti-Cuti Malaysia di Melaka dijangka jana RM1 juta

Iskandar Mirza ketika Program JCCM Roadshow 2022.

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Siri Jelajah Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) di Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dijangka mampu memberi pulangan lebih RM1 juta.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata ia akan menambah kutipan memberangsangkan yang diperoleh dari beberapa siri jelajah di negeri lain sebelum ini yang mencecah lebih RM8 juta.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia berkata jumlah itu dicatatkan menerusi lapan siri jelajah termasuk di Perak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor.

“Di Melaka sebanyak 30 penggiat industri terdiri daripada pengusaha produk, agensi pelancongan, hotel, dan taman tema mengambil bahagian sebagai pempamer dengan menawarkan pakej percutian dan penginapan serta tiket masuk pada harga istimewa.

“Kita harap ini dapat menarik minat penduduk sekitar Melaka dan Johor untuk mengunjungi reruai pempamer bagi mendapatkan pakej percutian pada harga terbaik,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pembentukan kerajaan baharu dijangka melonjakkan lagi industri pelancongan negara terutama kemasukan pelancong dari negara luar.

Ketika ini pihaknya akan meneruskan semua perancangan yang diatur seperti menggalakkan pelancongan domestik dan mengadakan promosi antarabangsa.

“Pada masa sama pameran fizikal juga memberi impak baik manakala kehadiran pesawat antarabangsa seperti dari Belanda dan Turkiye yang memulakan kembali penerbangan ke Malaysia turut memberi lonjakan positif kemasukan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan siri JCCM 2022 di Aeon Bandaraya di sini hari ini.

Loading...
Terkini