comscore
Tumpuan :
Nasional

Jemaah Menteri rakam takziah kepada Iran 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri merakamkan ucapan takziah kepada Iran susulan kematian Presidennya, Ebrahim Raisi dalam insiden pesawat di barat laut negara berkenaan, semalam.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dizahirkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

“Ini adalah satu kemalangan yang sangat menyedihkan. Perdana Menteri menyatakan dalam dua pertemuan bersama Presiden Iran jelas hubungan baik di antara kedua-dua negara bertambah erat,” katanya pada sidang media.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, beliau sendiri berpeluang merakam detik pertemuan pertama Perdana Menteri bersama Presiden Iran di Riyadh, Arab Saudi pada tahun lalu.

Jelasnya, gambar berkenaan meninggalkan kesan buat dirinya.

Semalam, media melaporkan, Raisi maut selepas helikopter yang dinaikinya untuk pulang dari upacara membuka empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan terhempas di Varzaqan, barat laut Iran.

Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai kanan wilayah juga berada di atas helikopter berkenaan.

Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebooknya semalam, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Iran atas tragedi yang menimpa Raisi bersama delegasi kepemimpinan negara itu.

Ujarnya, Malaysia juga berduka atas tragedi berkenaan dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini