comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah pendaki Malaysia maut di Alaska dibawa pulang dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Seorang pendaki rakyat Malaysia yang meninggal dunia selepas terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat (AS) sudah dibawa turun dari lokasi kejadian pada jam 8.30 pagi hari ini waktu tempatan.

Kelab Alpine Malaysia dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, jenazah kini di tempatkan di sebuah hospital di Anchorage, Alaska dan akan menjalani proses selanjutnya

“Kami mendapat makluman melalui Konsular Malaysia di Los Angeles dan pihak berkenaan jenazah Zulkifli Yusof, 37 tahun yang meninggal semasa mendaki di Gunung Denali, Alaska sudah selamat dibawa turun dari lokasi kejadian pada jam 8.30 pagi 1 Jun 2024 waktu tempatan.

“Pihak keluarga sedang berurusan dengan syarikat insuran dibantu wakil Konsular Malaysia untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu katanya, dua pendaki lain iaitu Muhammad Illaham Ishak dan Zainudin Lot, masing-masing berusia 47 tahun masih berada di hospital untuk rawatan akibat frostbite.

“Wakil Kelab Jelajah Alpine, Norsafrina Shamsir Md Nasir, kini berada di Talkeetna Alaska untuk membantu urusan membawa pulang jenazah dan dua pendaki iaitu Illaham serta Zainudin.

“⁠Untuk sementara ini kami mohon agar pihak waris dan keluarga diberikan ruang privasi sebaiknya. ⁠Kami mohon agar rakyat Malaysia doakan agar semua urusan dipermudahkan,” katanya.

Allahyarham bersama dua lagi pendaki sebelum ini terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di Gunung Denali di Alaska, sejak Selasa lalu ketika membuat pendakian di gunung tertinggi di Amerika Utara itu.

Zainudin berjaya diselamatkan pasukan penyelamat pada Jumaat lalu dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Talkeetna, Alaska.

Sebelum ini pada Selasa lalu, Denali National Park & Preserve dalam satu kenyataan mengesahkan pasukan penyelamat mereka berjaya menyelamatkan Illaham Ishak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini