comscore
Tumpuan :
Nasional

Pendaki terkandas: Zainuddin dan Allahyarham Zulkifly terpaksa makan dan minum ais – Isteri Zainuddin

Zainudin Lot menunjukkan kawasan beliau dan Allahyarham Zulkifly Yusof terkandas selama 4 hari di Gunung Denali, Amerika Syarikat.

Oleh: Fareez Azman

PETALING JAYA: “Dia terpaksa makan dan minum ais semata-mata untuk hidup,” jelas Norsafrina Shamsir Md Nasir, isteri kepada pendaki Zainudin Lot, 47, yang berjaya diselamatkan dari Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat malam semalam.

Norsafrina berkongsi keadaan Zainudin dan Allahyarham Zulkifly Yusof, 37, seperti yang diceritakan oleh suaminya itu selepas kedua-dua mereka terkandas di kawasan dikenali sebagai “Football Field” kira-kira 200 meter dari puncak Denali.

“Keadaan dia (Zainudin) sedikit lemah, dia baharu diselamatkan dan keadaan dia, tiga hari tak makan, tak minum hanya berbekalkan ais sahaja.”

“Bila haus kunyah ais, telan. Bila lapar kunyah ais, telan sebab memang tiada makanan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Muhammad Illaham Ishak, Zainudin Lot dan Allahyarham Zulkifly Yusof berjaya menakluk puncak Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat sebelum kejadian.

Zainudin katanya, sempat merakamkan beberapa gambar dan video pada awal mereka terkandas.

Bagaimanapun, keadaan Zainudin semakin tidak bertenaga selepas kehabisan bekalan makanan.

“Dia tunjukkan sekali bukti, sebab telefon dia masih ada bateri, dia ada ambil gambar sekitar.”

“Mula-mula dia memang bertenaga, tapi dia beri sokongan kepada arwah masa itu dah lemah. Bila mereka terpaksa berlindung di gua salji itu, yang kedalamannya setakat dua kaki, memang tidak dalam,” kata Norsafrina lagi.

Keadaan angin yang kuat dengan suhu sejuk yang ekstrem sehingga mencecah -30 darjah Celcius tambahnya menyebabkan operasi menyelamatkan mereka sukar.

Muhammad Illaham Ishak, Zainudin Lot dan Allahyarham Zulkifly Yusof berjaya menakluk puncak Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat sebelum kejadian.

Demi memastikan badan sentiasa panas, Zainudin kata Norsafrina berpelukan dengan Allahyarham Zulkifly.

Mereka hanya bergantung kepada kekuatan badan masing-masing untuk bertahan dengan cuaca ekstrem itu sehingga diselamatkan.

“Masing-masing kena positifkan diri masing-masing, tapi waktu itu keadaan arwah memang dah lemah. Mereka tidur berpelukan nak bagi panas badan masing-masing.”

“Dia berpelukan dengan arwah dua hari tak lepas, walaupun masa itu arwah dah tiada. Dia tidur sekali dan peluk arwah, dia masih trauma bila ingat situasi itu dia terus sebak,” ujarnya lagi.

Zainudin berjaya diselamatkan dengan helikopter kira-kira jam 7.00 pagi waktu tempatan (11.00 malam waktu Malaysia) selepas terkandas berhampiran puncak gunung itu sejak 28 Mei.

Pihak Taman Negara Denali dalam kenyataan medianya memaklumkan mangsa dipindahkan dari lokasi dia dilaporkan terkandas pada ketinggian 5,974 meter, berhampiran puncak gunung tertinggi benua Amerika Utara itu.

Manakala seorang lagi pendaki, Muhammad Illaham Ishak, 47, yang juga Presiden Kelab Jelajah Alpine Malaysia diselamatkan setelah turun ke kem 5 untuk meminta bantuan, dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan akibat kecederaan reput fros.

Jenazah Zulkifly ketika ini masih berada di lokasi kejadian dan operasi membawa keluar jenazah mangsa akan disambung semula Renjer Denali esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini