comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah Sarjan Faridah selamat dikebumikan

Jenazah Allahyarhamah Sarjan Faridah Abd Rahman di beri penghormatan oleh Pegawai Angkatan Tentera Malaysia serta ahli keluarga pada majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar Kampung Tengah.-FOTO: NSTP

POKOK SENA: Jenazah anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman selamat dikebumikan, hari ini.

Jenazah Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar, Kampung Tengah, Tualang jam 10.20 pagi tadi.

Allahyarhamah dikebumikan berhampiran pusara adiknya, Muhammad Farihan yang meninggal dunia pada 2013 akibat penyakit asma.

Jenazah Allahyarhamah Sarjan Faridah Abd Rahman selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar Kampung Tengah. – FOTO: NSTP

Terdahulu, jenazah Allahyarham Faridah, 39, tiba pada jam 9 pagi di perkarangan masjid dan diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan sahabat handai yang dihadiri lebih 500 orang termasuk pegawai dan anggota tentera.

Jenazah Faridah sebelum itu tiba di Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar di Kepala Batas, jam 8.10 pagi selepas diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang, Selangor.

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohd Akmar Mohd Dom turut mengiringi jenazah serta memberikan penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam itu disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir sebelum diterbangkan menggunakan pesawat TUDM C-130H Hercules.

Sebelum ini, majlis penghormatan jenazah dilaksanakan mengikut tradisi ketenteraan oleh pihak UNIFIL bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri, Khamis lalu.

Sarjan Faridah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas rebah sebaik tiba di Lubnan, Sabtu lalu.

Suami Allahyarhamah Sarjan Faridah Abd Rahman, Noor Azmi Ariffin, 39 bersama anak ke empatnya Ainul Mardiah, 4 pada majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar Kampung Tengah.-FOTO: NSTP

Allahyarhamah meninggalkan empat orang anak, tiga perempuan dan seorang lelaki berusia antara empat hingga 13 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini